Calon PM: Tak Boleh Paksa Anwar Terima Tun M

PKR bertegas bahawa Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah individu yang layak dicalonkan sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan Plus berjaya menakluk Putrajaya kembali.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, meskipun keputusan belum lagi dimuktamadkan, namun adalah tidak adil memaksa Anwar untuk bersetuju supaya Tun Dr Mahathir Mohamad dinamakan sebagai perdana menteri.

Apatah lagi dengan tindakan Dr Mahathir meletakkan jawatan pada Februari lagi tanpa berbincang dengan rakan-rakan di dalam gagasan, sekaligus meletakkan PH dalam ketidaktentuan pada hari ini.

“Justeru tidak adil untuk memaksa Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerima Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon PM ke-9 apatah lagi dengan apa yang beliau lalui sebelum ini.

“Tambahan pula, rekod Tun Dr Mahathir dalam isu peralihan kuasa yang menimbulkan ketidaktentuan ketika PH memerintah sebelum ini.

“Krisis politik yang kita lalui selepas Langkah Sheraton sebahagiannya berpunca dari tindakannya meletak jawatan tanpa berbincang dengan rakan-rakan PH dan keyakinan bahawa Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan PAS bersamanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PH Plus, sehingga ke hari ini masih gagal memuktamadkan sebrang keputusan berhubung calon PM meskipun perkara itu dikatakan dibincangkan di dalam mesyuarat pada minggu lalu.

PH Plus dikatakan mahu mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai timbalannya.

Bagaimanapun PKR menolak cadangan berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles