Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal percaya pencalonannya sebagai perdana menteri Pakatan Harapan (PH) bakal memberi ruang damai buat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Ada perkara yang jauh lebih penting bagi kita untuk membolehkan Malaysia dan Sabah ditadbir dengan baik kerana rakyat perlukan bimbingan dan pimpinan.
“Kita tak seharusnya terlalu banyak berpolitik dan berdebat mengenai siapa yang menjadi Perdana Menteri,” katanya memetik laporan BH hari ini.
Shafie juga dikatakan telah bertemu dengan Anwar bagi membincangkan soal calon perdana menteri bagi menjayakn usaha pembangkang menawan kembali Putrajaya.
Beliau menyatakan pendiriannya berkenaan cadangan Dr Mahathir kepada Presiden PKR itu.
Shafie yang juga Presiden Warisan percaya bahawa pimpinan PH akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan soal pencalonannya,
“Memang beliau (Anwar) ada berkata sesuatu tetapi kita akan lihat bagaimana dengan perbincangan itu.
“Saya nyatakan mengenai pendirian berhubung perkara itu yang dicadangkan mereka.
“Saya rasa mesyuarat (PH) akan diadakan pada hari ini dan mereka akan membincangkannya dalam parti mereka,” ujarnya.
Nama Shafie disebut sebagai calon PM pembangkang selepas kombinasi Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Anwar timbalannya, dan kombinasi kedua dengan Anwar sebagai calon perdana menteri dan Mukhriz Mahathir menjadi timbalan, tidak mendapat persetujuan semua pihak dalam PH Plus.