BERA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan pembangkang tidak ada modal kempen lain selain membuat fitnah bahawa Barisan Nasional (BN) akan menamakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai perdana menteri.
Tujuan propaganda itu hanyalah satu, iaitu demi mengelirukan pengundi meskipun tahu beliau satu-satunya pemimpin yang diisytiharkan calon perdana menteri oleh UMNO dan BN.
Malah Naib Presiden UMNO itu juga berkata tohmahan itu juga bertujuan memecahbelah kepimpinan UMNO dan BN tetapi akhirnya mendedahkan pembangkang ketandusan isu.
“Mereka cuba menimbulkan kekeliruan (dalam kalangan pengundi) dan tentu juga mereka mahu supaya kepimpinan BN dan UMNO berpecah. Mereka nampak tak ada isu lain yang boleh mereka menggunakan. Hanya menggunakan isu PM ini,” Ismail dipetik dalam temubual bersama Free Malaysia Today.
Beliau turut menyifatkan dakyah yang disebarkan itu sebagai cara tidak beretika untuk menjejaskan sokongan pengundi terhadap BN.
“Mereka (parti lawan) cuba menggambarkan (kemungkinan) saya tak menjadi PM (supaya) menurunkan sokongan kepada BN. Mereka mungkin takut saya (sebagai) calon PM. Saya anggap…ia boleh menjadi satu kekuatan untuk saya untuk menarik pengundi (kepada) BN,” tambah beliau.
Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini mendakwa Zahid selaku Presiden UMNO dan pengerusi BN mengintai jawatan tertinggi negara meskipun Ismail diumumkan sebagai ‘poster boy’ BN dan calon PM PRU15.
Malah fitnah yang sama digunakan Gabungan Tanah Air (GTA) yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kerana itulah wujudnya naratif bahawa ‘satu undi kepada BN bersamaan satu undi untuk Zahid menjadi perdana menteri’.
Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera kesal cubaan pembangkang menidakkan keputusan di pelbagai peringkat dalam UMNO dan BN berhubung calon perdana menteri.
“Keputusan untuk mencalonkan saya sebagai perdana menteri oleh BN telah diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Tertinggi UMNO, biro politik UMNO, dan Perhimpunan Agung UMNO. Malah, disambut oleh parti-parti komponen (BN),” katanya.
“Seluruh kepimpinan BN, termasuk Pengerusi, Zahid, Mohamad Hasan (Timbalan Pengerusi), dan lain-lain, jelas kata saya satu-satunya calon perdana menteri (BN),” katanya.
Ismail berkata pembangkang juga menggunakan isu calon PM dalam cubaan terdesak menanam keraguan dalam kalangan pengundi terhadap kemampuan BN mewujudkan kestabilan – mesej utama gabungan itu dalam kempen pilihan rayanya.
Katanya, sejarah menunjukkan PH dan PN tidak mampu menghasilkan kerajaan stabil.
Ismail menambah BN jelas dengan apa yang ia mahu lakukan untuk memperkasakan negara sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan pada 19 November ini.
“Manifesto kita bukan sahaja menyentuh soal ekonomi tetapi transformasi institusi.”