Calon PM: Bersatu Kata PAS Juga Bebas Kemuka Nama

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Yadzil Yaakub, menegaskan bahawa PAS juga berhak mencadangkan calon perdana menteri pilihan mereka untuk dibincangkan di peringkat kepimpinan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, walaupun Bersatu telah mengusulkan nama Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas mendapat persetujuan sebulat suara dalam Perhimpunan Agung Tahunan hujung minggu lalu, keputusan akhir tetap ditentukan secara konsensus oleh semua komponen PN iaitu Bersatu, PAS, Gerakan dan MIPP.

“PAS pun boleh umum siapa calon perdana menteri mereka di muktamarnya. Tetapi calon rasmi PN hanya akan diputuskan melalui persetujuan bersama,” katanya memetik FMT.

Kenyataan itu hadir selepas Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menegur Bersatu agar tidak membuat keputusan politik penting secara bersendirian atas nama PN.

Sanusi menekankan bahawa perkara besar seperti penentuan calon perdana menteri perlu dibincangkan bersama rakan gabungan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengumumkan perhimpunan parti itu telah meluluskan usul mencalonkan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri ke-11.

Isu calon perdana menteri atau ‘poster boy’ PN menjelang PRU16 dilihat semakin hangat diperkatakan dan kadangkala menimbulkan percanggahan dalam kalangan pemimpin parti komponen.

Sementara itu, seorang lagi ahli MPT Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyifatkan adalah wajar bagi setiap parti dalam PN menamakan calon pilihan masing-masing sebelum dibawa ke meja rundingan.

“Sanusi berhak menyatakan pandangan beliau sebagai pimpinan PAS, dan kita menghormatinya. Namun akhirnya keputusan terletak kepada MPT PN, manakala selepas PRU, kuasa pelantikan tetap di tangan Yang di-Pertuan Agong,” jelas Ahli Parlimen Machang itu.

Beliau turut menegaskan bahawa fokus utama kini adalah memastikan kesepaduan jentera PN kekal kukuh dalam menghadapi PRU16.

BBerkaitan

Latest articles