Calon PKR Akan Mewakili Kerajaan Perpaduan Di Sungai Bakap

PULAU PINANG — Kerajaan perpaduan akan meletakkan calon dari PKR untuk bertanding di PRK Sungai Bakap akan datang, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Chow yang juga ketua menteri berkata kepimpinan PH dan Barisan Nasional (BN) sebulat suara memilih PKR untuk bertanding di kerusi DUN tersebut.

“Dengan semangat perpaduan kita akan cuba menang kembali di kerusi Sungai Bakap yang sebelum ini sudah tiga penggal diwakili calon dari PKR,” katanya dalam satu sidang media.

Katanya, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1 Muhammad Abdul Hamid pula dilantik sebagai pengarah PRK Sungai Bakap dan akan dibantu empat timbalan mewakili DAP, Amanah, PKR, dan BN.

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff dari PAS, pada 24 Mei lalu.

Zamri, yang juga ketua PAS Nibong Tebal memenangi kerusi itu dalam pilihan raya negeri Ogos lalu apabila menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 selepas memperoleh 15,433 undi.

Pada malam tadi, dilaporkan PKR Pulau Pinang mencadangkan lima nama kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk dipertimbangkan sebagai calon.

Mohamad berkata lima nama yang dihantar itu membabitkan lelaki dan wanita berusia antara 30 hingga 60 tahun.

FMT sebelum ini melaporkan terdapat gesaan pemimpin Umno Pulau Pinang agar PH memberi laluan kepada BN bertanding di PRK Sungai Bakap bagi menghargai sumbangan Umno dalam kerajaan perpaduan yang mengangkat Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan memenangkan calon PH, Pang Sock Tao pada PRK Kuala Kubu Baharu.

Umno pernah memenangi kerusi itu pada PRU 2004.

Suruhanjaya Pilihan Raya dijadualkan bermesyuarat 6 Jun ini bagi menentukan tarikh penamaan calon serta hari pengundian.

BBerkaitan

Latest articles