MUAR: Naib Presiden Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata gabungan itu belum membincangkan lagi calon sesuai untuk dinamakan sebagai Menteri Besar, sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan negeri melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Saya pun tidak mahu komen lebih kerana saya sendiri bertanding tetapi saya rasa Majlis Presiden PH akan bincang dalam masa terdekat ini.
“Biarlah perkara itu diselesaikan oleh Majlis PH. Namun sehingga kini belum ada (perbincangan),” katanya hari ini.
Timbalan Presiden AMANAH itu turut bertanding mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada PRN Johor dalam pertandingan empat penjuru.
Untuk PRN Johor 12 Mac ini, AMANAH meletakkan 16 calon pada 12 Mac ini daripada keseluruhan 56 kerusi DUN yang ditandingi PH.
Selain Salahuddin, AMANAH turut meletakkan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat; Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan dan timbalannya, Dzulkefly Ahmad.