Calon MB: Ahmad Zahid Ingatkan Wan Saiful Jangan Cuba Melaga-lagakan UMNO

ISKANDAR PUTERI: Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan diingatkan untuk tidak masuk campur hal UMNO dengan bertindak melaga-lagakan kepimpinan di dalam parti.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan hanya Datuk Seri Hasni Mohammad dilantik sebagai menteri besar sekiranya mereka diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Terdahulu Wan Saiful mendakwa BN akan melantik calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi sebagai calon menteri besar, dan bukannya Hasni.

“Kononnya ada seorang ketua penerangan sebuah parti yang tiada ada masa depan mengatakan saya memberi dokongan kepada calon DUN Rengit untuk jadi Menteri Besar (MB), orang itu mimpi ke apa ni?

“Saya umum bahawa poster boy kita, calon MB kita atas perkenan tuanku (Sultan Ibrahim Sultan Ismail) adalah Datuk Seri Hasni Mohammad. Tidak ada lain, apa yang kita cakap itulah yang kita akan buat.

“Kita tahu bahawa kuasa melantik MB itu di bawah kuasa Tuanku tetapi jangan lagakan saya kononnya saya mahukan Mohd. Puad, lagakan saya kononnya saya nak orang itu nak orang ini,” katanya ketika berucap dalam program ramah mesra bersama pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar di bilik gerakan Parlimen Iskandar Puteri, Gelang Patah, hari ini.

Turut hadir ialah calon kerusi DUN Skudai, Lim Soon Hai dan calon kerusi DUN Kota Iskandar, Pandak Ahmad.

Wan Saiful dalam satu hantaran di Facebook miliknya baru-baru ini mendakwa, Ahmad Zahid mahu meletakkan calonnya sendiri iaitu Mohd. Puad sebagai Menteri Besar Johor jika BN menang PRN dan berjaya membentuk kerajaan negeri.

Beliau memberi dalil kononnya jawatan itu sebagai ganjaran kepada Mohd Puad kerana menyokong Ahmad Zahid dan Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, BN tetap dengan pendirian untuk memilih Hasni seperti yang dipersetujui kerana prestasi yang ditunjukkan beliau sebelum ini semasa Menteri Besar Johor.

Malah Hasni, dalam tempoh yang singkat, berjaya melakukan pelbagai transformasi penting kepada bangsa Johor secara keseluruhan di negeri ini.

Jelasnya, persetujuan untuk melantik Hasni bukan keputusan beliau seorang tetapi sudah dibawa dalam mesyuarat MT dan biro politik UMNO negeri sebelum dipersetujui secara sebulat suara.

Tambahnya, keyakinan yang ditunjukkan BN tidak ada pada gabungan parti pembangkang yang sehingga kini tidak menamakan calon Menteri Besar Johor mereka.

BBerkaitan

Latest articles