Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata soal siapakah calon ketua menteri Sabah bagi gabungan Barisan Nasional (BN) dan rakan sekutunya perlu dibincangkan antara kesemua parti.
Reaksi itu menyusul selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor sebagai calon ketua menteri Sabah jika Gabungan Rakyat Sabah berjaya menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September depan.
“Ketua Menteri Sabah hanya akan dipilih oleh Adun BN dan rakan kongsi politik apabila cukup bilangan kerusi bagi pembentukan kerajaan negeri yang baharu,” demikian ciapnya di Twitter.
Selain Zahid, turut memberikan respon terhadap pengumuman itu adalah Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan.
“Tidak dibincang dengan BN,” ujarnya sambil memuatnaik bersama pengumuman Muhyiddin itu.
Bagi PRN Sabah kali ini, Hajiji sekali lagi akan bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman yang dimenangi sejak tahun 1990.
Hajiji, ketika diminta mengulas mengenai sokongan Muhyiddin terhadapnya sebagai calon ketua menteri berkata, bersedia untuk menerima jawatan itu selain akan berunding dengan rakan-rakan sekutu terlebih dhaulu.