Calon Ini Anak Tempatan, Berpendidikan Agama – Zahid Beri Amaran Terhadap Serangan Peribadi

TAPAH, – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Air Kuning merupakan anak jati kawasan tersebut yang berpendidikan agama dan bukan hasil kronisme mahupun nepotisme.

“Ini bukan soal kronisme atau nepotisme. Beliau anak tempatan, berpendidikan agama dan pernah menuntut di Sekolah Izzuddin Shah,” katanya di program jamuan Rahmah Mesra di PDM Changkat Petai, Tapah disini hari ini.

Zahid turut menyeru para pengundi agar memberikan sokongan penuh kepada calon BN, bukan hanya semasa hari penamaan, tetapi berterusan hingga hari pengundian pada 26 April ini.

Janji Pembangunan Jika Menang

Dalam ucapannya, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berjanji akan membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan Air Kuning sekiranya calon BN memperoleh kemenangan meyakinkan.

Hati-Hati Dengan Serangan Peribadi

Beliau turut memberi amaran awal kepada jentera BN mengenai taktik lawan yang berkemungkinan besar menyerang secara peribadi.

“Pilihan raya kecil ini macam cermin pembesar. Bekas jerawat pun boleh dijadikan isu. Tapi kita bukan maksum. Pasti ada kelemahan, namun saya yakin calon kita ikhlas dan mampu berkhidmat dengan baik,” katanya.

Zahid menasihatkan agar jentera BN tidak termakan provokasi dan terus mengamalkan kempen secara matang dan berhemah.

Stabiliti Kerajaan Negeri Perak

Tambah beliau, kemenangan BN penting untuk mengekalkan kestabilan kerajaan negeri Perak yang kini memegang 33 kerusi selepas kekosongan berikutan kematian Allahyarham Tuan Haji Isham, penyandang kerusi DUN Air Kuning sebelum ini.

“Allahyarham Isham telah banyak berjasa kepada kawasan ini. Jangan biarkan pembangkang menggugat kestabilan yang telah kita bina. Kita perlu kekalkan kekuatan ini dengan kemenangan,” tegas Zahid.

PRK Air Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, dan hari pengundian dijadualkan pada 26 April ini.

BBerkaitan

Latest articles