KAWANG: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang, Datuk Jamal Norubit berikrar untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang lama membelenggu penduduk dengan membangunkan sistem air graviti dan telaga tiub sebagai langkah alternatif yang lebih cepat dan praktikal.
Menurut Jamal, kaedah tersebut mampu menjadi penyelesaian jangka pendek yang berkesan, terutama bagi penduduk Papar yang berdepan gangguan air sehingga berminggu-minggu, atau hanya menerima bekalan pada waktu malam.
“Kos membina telaga tiub tidak besar, tetapi impaknya besar untuk rakyat. Sistem air graviti pula mudah dibangunkan dan boleh membantu penduduk segera,” katanya ketika ditemui Bernama.
Mengangkat slogan “Calon Baru, Semangat Baru, Idea Baru”, Jamal turut memberi tumpuan kepada pembangunan belia sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Antara fokus utama beliau ialah pembinaan mini stadium untuk kemudahan sukan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi golongan muda.
“Beri saya peluang untuk berkhidmat di DUN Kawang,” katanya, menegaskan komitmennya untuk menyelesaikan pelbagai isu setempat.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 25 November sebagai hari undi awal dan 29 November sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17.
Kawasan DUN Kawang (N28) melibatkan seramai 23,823 pengundi berdaftar.










