Calon BN diingatkan jangan celupar, hormati rakyat Sabah – Dr Asyraf

TAWAU: Calon Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam setiap kenyataan yang dibuat sepanjang kempen dan tidak mengikuti sikap keceluparan seperti insiden membabitkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah yang pernah memperlekeh rakyat Sabah.

Setiausaha Agung BN, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Sabah merupakan negeri yang terkenal dengan keharmonian serta kepelbagaian kaum, dan apa juga kenyataan yang merendahkan martabat rakyat negeri itu tidak boleh diterima dalam budaya politik parti berkenaan.

Menurutnya, rakyat Sabah hidup dalam keadaan aman dan sentiasa bertoleransi walaupun berbeza pandangan politik.

“Jangan sesekali membawa budaya kasar dan jangan merendahkan martabat rakyat Sabah dengan tawaran atau tutur kata yang memperlekehkan mereka.

“Sabah negeri yang harmonis dalam semua aspek. Mereka boleh berbeza pandangan tetapi tetap hidup damai,” katanya ketika ditemui pada program Titik Temu bersama komuniti di Kampung Bakau, di sini, semalam.

Turut hadir calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu, Samasuddin Yusop.

Asyraf berkata, kepimpinan tertinggi BN juga sentiasa mengingatkan calon agar menjauhi kempen berunsur fitnah, maki hamun dan tuduhan tidak berasas.

Sebaliknya, katanya, calon perlu memberi tumpuan kepada tawaran BN serta rekod khidmat parti itu sepanjang pentadbiran lalu.

“Kita perlu fokus kepada apa yang UMNO dan BN dapat tawarkan serta membuktikan apa yang telah dilakukan. Tidak perlu membuat janji melampau, yang penting ialah komitmen sebenar kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan turun padang dan menyantuni semua pengundi tanpa mengira latar belakang atau kecenderungan politik.

“Jangan menganggap seseorang itu bukan penyokong kita. Semua pengundi ada potensi menyokong BN, cuma perlu didekati dengan cara yang berhikmah,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf menegaskan bahawa Sabah kekal sebagai ‘kubu utama’ BN dan menjadi nadi kekuatan parti sejak sekian lama.

“BN tidak pernah kalah di Sabah, BN hanya dikhianati pada 2018. Rakyat Sabah masih mengingati jasa BN membangunkan negeri ini lebih 35 tahun. Sebab itu kita kembali dengan prinsip ‘Bikin Baik Sabah’,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles