Calon Bebas Di DUN Dudong Tarik Diri, Beri Sokongan Kepada GPS

SIBU: Engga Unchat, calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong mengumumkan penarikan diri untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12 Sarawak), hari ini.

Penarikan diri dibuat menerusi surat yang ditandatangani Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Dudong, Abdul Razak Awang Bini.

Menerusi satu hantaran di Facebook malam tadi, Engga mengesahkan keputusan menarik diri itu, dan menyatakan sokongannya terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Dengan surat ini, saya mengumumkan menarik diri sebagai calon yang akan bertanding dalam PRN-12 Sarawak.

“Saya calon no.8 (lambang KUNCI) di bahagian N.52 Dudong melalui surat ini mengesahkan penarikan diri saya daripada bertanding dalam PRN-12 Sarawak.

“Saya dengan ini memberikan sokongan penuh dan padu kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.

Engga memaklumkan keputusan itu dibuat supaya kesinambungan pembangunan di kawasan Dudong dapat diteruskan.

“Saya menyeru pengundi di kawasan ini untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada calon GPS,” katanya.

Kawasan DUN Dudong menyaksikan paling ramai calon bertanding pada PRN-12 Sarawak iaitu seramai lapan orang.

Mereka ialah Datuk Seri Tiong King Sing, yang mewakili GPS; Paul Ling Fong dari DAP, calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Wong Hie Ping; calon Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), Julius Enchane; calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Jane Lau Sing Wee dan calon Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI), Josephine Lau Kiew Peng serta Fadhil Mohamad Isa atau ‘Cardock’, Bebas.

Latest articles

Related articles

spot_img