Cakna Parit Yaani – Slogan Najib Samuri Di PRN Johor

SRI GADING – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Najib Samuri memiliki pakej lengkap untuk ditawarkan kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Ahli perniagaan berusia 40 tahun itu telah merangka tiga teras utama iaitu pendidikan, ekonomi dan kebajikan, sekali gus menjadikan beliau salah seorang calon yang mempunyai manifesto sendiri sebagai ikhtiar kepada pengundi di kawasan yang ditandinginya.

Ketika ditemui, pemegang Diploma Kejuruteraan Elektrik yang kini sedang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan itu berkata, beliau menamakan teras itu sebagai ‘Cakna Parit Yaani’.

Mengulas mengenai rangka teras itu, Najib memberitahu, beliau berhasrat mahu meningkatkan pencapaian jalur lebar di seluruh DUN berkenaan agar pembelajaran dari rumahmenerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) dapat berjalan secara kondusif dan berkualiti.

Katanya, perkara itu dimasukkan dalam teras utama pendidikan.

“Kedua, kita nak adakan tuisyen percuma kepada pelajar-pelajar seluruh DUN Parit Yaani yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan matematik sahaja.

“Manakala, yang ketiga adalah bantuan khas kepada 100 pelajar cemerlang SPM setiap tahun untuk DUN Parit Yaani ini,” katanya.

Untuk teras yang kedua pula iaitu ekonomi, beliau berkata, pusat khidmatnya nanti akan membantu penjaja kecil dari segi kewangan dan latihan kepada 100 usahawan pertama setiap tahun.

Turut akan dilaksanakan kata beliau iaitu penubuhan ‘one stop centre’ sebagai medium penyampaian maklumat berkaitan bantuan kerajaan kepada para peniaga.

Manakala, teras ketiga berkaitan kebajikan pula katanya, ia membabitkan golongan belia dimana usaha agar mereka mendapat pekerjaan dengan gaji yang berpatutan selain memastikan kadar pengangguran di DUN itu dapat dikurangkan di bawah lima peratus.

“Ini yang paling menarik kita bawakan untuk pengundi muda di bawah umur 40 tahun di kawasan DUN Parit Yaani iaitu bantuan khas kepada pasangan yang baru berkahwin dan bakal menimang cahaya mata pertama.

“…maksudnya kelahiran anak pertama di bawah pasangan 40 tahun ini kita ada sedikit bantuan khas untuk mereka.

“Yang ketiga di bawah teras kebajikan, kita berhasrat mewujudkan hab belia di kawasan DUN ini untuk dijadikan pusat sehenti bagi mereka yang terlibat dalam industri gig ekonomi,” ujarnya.

Najib mengharapkan agar pengundi-pengundi di kawasan DUN Parit Yaani dapat memberikan peluang untuk beliau mengotakan teras yang digariskan demi kesejahteraan rakyat di DUN Parit Yaani dengan memastikan kemenangan memihak kepadanya pada 12 Mac ini.

BBerkaitan

Latest articles