KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia membincangkan cadangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Syarikat Petroleum Nasional (Petronas) melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong boleh dibincangkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ia (cadangan Sultan Ibrahim) tidak langsung akan menggugat kuasa dan peruntukan perlembagaan negara kita.
“Itu pandangan saya, saya diminta ulas kenyataan itu (titah Sultan Ibrahim) saya jawab, kita boleh runding dengan baik tapi prinsip perlembagaan, demokrasi berparlimen, Raja Berpelembagaan itu tetap dipertahankan dan kita junjung prinsip yang sama,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan Jubli Perak 25 Tahun Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) malam tadi.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Komumikasi, Ahmad Fahmi Fadzil.
Anwar berkata demikian mengulas pertanyaan media mengenai kenyataan terbaharu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu SPRM dan Petronas melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong tidak boleh diambil ringan.
Malah menurut Dr Mahathir, keinginan yang disampaikan oleh Sultan Johor itu jika menjadi kenyataan akan menimbulkan beberapa persoalan penting berkait dengan peranan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, cadangan Sultan Ibrahim tidak menjurus kepada menimbulkan kebimbangan dan hanya sekadar pandangan baginda.
“Pandangan ini boleh dibawa bincang tetapi tidak akan mempengaruhi dasar negara dan prinsip kita tentang Raja Berpelembagaan,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Sultan Ibrahim dalam wawancara bersama akhbar Singapura beberapa hari lalu menyatakan hasrat supaya SPRM dan Petronas melaporkan terus kepada Agong bagi memastikan dua institusi penting negara itu bebas daripada campur tangan badan eksekutif.
“Sejak zaman moyang saya, kami adalah pemburu yang hebat. Beta akan pastikan apabila pergi memburu, beta bawa pulang hasil yang baik.
“Tetapi apabila beta di KL, ia hutan konkrit. Jadi apa yang beta buru? Beta akan buru semua orang yang korup, beta akan pastikan akan ada hasil,” titah Sultan Ibrahim.
Tegas baginda, dengan SPRM diletakkan terus di bawah Agong dan bukan Parlimen, ia akan dapat menjamin kebebasan suruhanjaya itu.
“Ini bermakna anda tidak di bawah pengaruh mana-mana pihak dalam eksekutif.
“Malah Petronas juga tidak seharusnya di bawah Parlimen, melapor terus kepada beta,” titah baginda lagi.
Sultan Ibrahim bakal menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang Yang di-Pertuan Agong.