Cadangan ‘Pulau Anjing’ MP Langkawi Tidak Praktikal – Setiausaha Agung ABATA

LANGKAWI – Setiausaha Agung ABATA, Sarfarizmal Md Saad, menyifatkan cadangan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah, untuk menempatkan anjing liar di sebuah pulau sebagai penyelesaian yang tidak praktikal dan tidak menyelesaikan isu utama.

Menurut Sarfarizmal, langkah mengasingkan anjing-anjing ini hanya akan menimbulkan lebih banyak masalah logistik dan kebajikan haiwan, selain berpotensi menjadi satu bentuk pengabaian besar-besaran.

“Masalah utama bukan sekadar keberadaan anjing liar, tetapi bagaimana menguruskan populasi mereka dengan berkesan. Penyelesaian yang lebih bijak adalah melalui program kawalan populasi seperti pensterilan dan vaksinasi, bukan dengan membuang mereka ke pulau terpencil. Langkah ini bukan sahaja lebih berperikemanusiaan, tetapi juga lebih berkesan dalam jangka panjang,” katanya.

Beliau turut menolak idea bahawa ‘pulau anjing’ boleh menjadi tarikan pelancong.

“Pelancong datang ke Langkawi untuk menikmati pantai, alam semula jadi, dan kemudahan moden, bukan untuk melihat anjing liar yang dipelihara di sebuah pulau khas. Tanpa pengurusan yang betul, pulau itu boleh menjadi tempat yang tidak terkawal dan membahayakan pelancong,” tambahnya.

Kenyataan Sarfarizmal ini adalah sebagai respons terhadap cadangan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah, yang mencadangkan sebuah pulau khas untuk menempatkan anjing liar kerana ia dikatakan menjadi ancaman kepada penduduk dan industri pelancongan.

Menurut Mohd Suhaimi, masalah anjing liar di Langkawi telah dibangkitkan sejak Mac dua tahun lalu, namun tiada penyelesaian menyeluruh.

“Pada September 2023, saya sekali lagi membawa isu ini ke dalam dewan dan memaklumkan bahawa hampir setiap minggu berlaku kes gigitan anjing terhadap pelancong. Tetapi laporan kes-kes ini tidak diperbesarkan kerana mahu menjaga reputasi Langkawi sebagai destinasi pelancongan,” katanya.

Tambah Sarfarizmal yang juga Alumni Pelajar Pra-U SMK Tunku Putra, Langkawi, menegaskan bahawa menyembunyikan masalah ini demi menjaga imej pelancongan adalah tindakan tidak bertanggungjawab.

“Keselamatan penduduk dan pelancong sepatutnya menjadi keutamaan, bukan sesuatu yang hanya diambil serius apabila melibatkan pelancong kaya dan terkenal,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa jika kebajikan anjing-anjing liar benar-benar ingin dijaga, mengasingkan mereka ke sebuah pulau bukanlah langkah yang sesuai.

“Mereka memerlukan penjagaan rapi, bekalan makanan yang mencukupi, rawatan veterinar, serta pemantauan berterusan—sesuatu yang sukar dilaksanakan dalam persekitaran terpencil,” jelasnya.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa cadangan ini tidak mengambil kira kesan ekologi terhadap pulau yang akan digunakan.

“Pulau-pulau kecil di Langkawi kaya dengan biodiversiti dan ekosistem yang sensitif. Melepaskan anjing liar ke kawasan seperti itu boleh mengganggu keseimbangan ekologi dan membahayakan hidupan liar tempatan,” katanya lagi.

Sebagai penyelesaian yang lebih berkesan, Sarfarizmal mencadangkan agar pemeliharaan anjing dilakukan secara bertanggungjawab, pusat perlindungan haiwan diperluaskan, dan masyarakat dididik tentang pengurusan haiwan terbiar.

“Cadangan ‘pulau anjing’ ini bukan sahaja tidak logik, tetapi juga mencerminkan pemikiran yang cetek dalam menyelesaikan isu kebajikan haiwan dan keselamatan awam,” tegasnya.

Seharusnya masyarakat di Parlimen Langkawi berasa terhina dan malu dengan cadangan cetek idea dari Ahli Parlimen ini. Jika beginilah tahap pemimpin yang kita ada, lebih baik untuk pilihan raya akan datang kita angkat pelajar pra universiti dari mana-mana sekolah di Langkawi sebagai Ahli Parlimen.

BBerkaitan

Latest articles