Cadangan Had Tempoh Jawatan PM Tak Selesaikan Masalah Negara

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri yang pernah menjawat jawatan itu selaman 22 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun sahaja.

Sebaliknya apa yang penting pada ketika ini adalah kecekapan dan tanggungjawab dalam merencanakan hala tuju sesebuah negara itu.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu juga mendakwa cadangan DAP untuk menghadkan tempoh jawatan itu tidak akan menyelesaikan isu dihadapi negara andai individu memegang jawatan nombor satu negara itu tidak dapat menjalankan tanggungjawab serta mempunyai integriti tinggi.

“Kalau had 10 tahun pun, kalau orang tidak baik dan tidak bagus, pastinya tempoh itu akan digunakan untuk lakukan semua jenis kerosakan kepada negara. Jadi tidak guna juga.

“Tapi jika seseorang itu bertanggungjawab dan mampu menjadi Perdana Menteri yang baik dan disukai rakyat pastinya tempoh 10 tahun itu tidak akan cukup.

“Ini pendapat sayalah,” katanya pada Majlis Berbuka Yayasan Kepimpinan Perdana, malam tadi.

Terdahulu DAP pada baru-baru ini mencadangkan supaya Kerajaan Perpaduan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menghadkan tempoh perkhidmatan seorang Perdana Menteri kepada hanya 10 tahun.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan perlu melaksanakannya dalam tempoh 24 bulan ini memandangkan ia termaktub dalam salah satu manifesto Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 (PRU15) lalu.

Dalam pada itu mengulas mengenai peranannya selama memegang jawatan PM, Dr Mahathir mengakui berbangga dengan pencapaiannya dalam pelbagai usaha dan pembangunan selama menerajui negara selama 22 tahun.

“Ini adalah antara rekod paling lama seorang pemimpin,” katanya sambil menambah selama itu juga tidak ada pihak yang cuba menjatuhkannya.

BBerkaitan

Latest articles