Cadangan Guan Eng Isu Pendidikan Sekadar Cari Publisiti – GPMS

KUALA LUMPUR: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyifatkan cadangan Penasihat DAP, Lim Guan Eng untuk mengadakan sistem peperiksaan tunggal dan kurikulum berasaskan merit sebagai pandangan yang terlalu mudah terhadap persoalan pendidikan negara.

Presidennya, Fazreen Fauzi berkata, GPMS menegaskan bahawa masalah pendidikan Malaysia tidak boleh diselesaikan hanya dengan menukar bentuk peperiksaan secara tunggal.

“Kalau benar mahu melakukan reformasi pendidikan, jangan mula dengan peperiksaan. Mulakan dengan sekolah satu aliran,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Malaysia memerlukan satu sistem pendidikan kebangsaan yang kukuh dan mampu menyatukan anak-anak Malaysia sejak di bangku sekolah dengan kurikulum seragam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta ruang interaksi yang luas.

Fazreen menegaskan bahawa keputusan PISA tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menganggap sistem peperiksaan sebagai punca utama kelemahan pendidikan negara.

Jelas beliau, prestasi pelajar dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk kualiti guru, pedagogi, penguasaan asas membaca, menulis dan mengira, kemahiran berfikir, disiplin pembelajaran, kemudahan sekolah, sokongan keluarga serta jurang pendidikan.

“Menukar sistem peperiksaan tanpa memperbaiki faktor-faktor tersebut ibarat menukar meter kelajuan kereta tetapi tidak membaiki enjinnya,” katanya.

Tambah beliau lagi, pendidikan anak-anak Malaysia bukanlah medan untuk bereksperimen, di mana setiap reformasi mesti berasaskan kajian, data, kesiapsiagaan dan kesan jangka panjang dan bukannya semata-mata kelihatan menarik di hadapan kamera.

GPMS turut menegaskan bahawa Guan Eng tidak perlu menjadi “hero pendidikan” setiap kali muncul sesuatu isu.

“Kalau benar mahu membantu, kemukakan cadangan yang menyelesaikan masalah dari akar umbi. Jangan jadikan pendidikan medan mencari publisiti,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, GPMS berpandangan bahawa sekolah satu aliran perlu dibincangkan dan dimulakan secara serius sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem pendidikan kebangsaan.

“Satu sistem dahulu. Kemudian satu peperiksaan. Bukan sebaliknya,” jelas beliau sambil menegaskan bahawa GPMS menolak sebarang bentuk reformasi yang hanya menyentuh simptom tanpa menyelesaikan akar masalah.

BBerkaitan

Latest articles