Cabul Dua Remaja, Jurulatih Bola Sepak Ditahan

KOTA TINGGI: Seorang jurulatih bola sepak persendirian ditahan kerana dipercayai mencabul dua remaja perempuan masing-masing berusia 13 tahun di Bayu Damai.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Yusof Othman berkata, suspek berkenaan ditahan pukul 7.30 malam pada 11 Jun lalu di kawasan perumahan Bayu Damai selepas pihaknya menerima dua aduan sebelum ini.

“Suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 33 tahun ditangkap selepas dua aduan dibuat berkenaan kejadian cabul dua mangsa tersebut pada 10 dan 11 Jun lalu.

“Kejadian cabul itu didakwa dilakukan di empat lokasi berbeza sekitar Bayu Damai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Menurut beliau, suspek ditahan reman bermula 12 hingga 17 Jun ini, selama enam hari, selepas mendapat kebenaran Mahkamah Majistret Kota Tinggi.

Yusof memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika sabit kesalahan katanya, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar tampil menyalurkannya di balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi 07-883 7222.

BBerkaitan

Latest articles