Cabaran Besar Untuk Lawan ‘Fake News’

Oleh: Sarfarizmal Saad

Nampak macam klise, namun begitulah gaya bahasa dan kenyataan setiap kali menteri atau timbalan menteri baharu masuk ke pejabat – merujuk kepada beberapa kenyataan media yang dilakukan oleh Fahmi Fadzil dan Teo Nie Ching dalam bidang komunikasi, media dan digital sejak dua menjak kebelakangan ini.

Sebagai contoh, semasa lawatan kerja pertama Nie Ching ke BERNAMA pada 22 Disember 2022, beliau memberi penekanan terhadap memerangi penyebaran berita palsu (fake news) dan ucapan kebencian (jelek) di media dalam negara.

Ya, di media massa mungkin kita boleh kawal dan tapis agar tiada fake news atau hujah jelek dapat menerobos dalam skrin, akhbar, mahupun corong radio.

Namun menjadi kegusaran sesiapa sahaja yang bergelar pemerintah, adalah mengenai media sosial yang tiada punya sempadan dan limitasi sesuatu bahan yang disiarkan.

Boleh sebut di sini, mana satukah menteri atau timbalan menteri komunikasi yang telah berjaya menyekat fake news dan ucapan jelek di media sosial? Jika ada, sila namakan.

Hakikatnya tiada seorang pun mampu berbuat demikian.

Fenomena tanpa sempadan di media sosial telah memungkinkan kita tidak boleh menyekat secara 100 peratus penyebaran fake news dan hujahan berunsur jelek ini.

Apa yang boleh kita lakukan hanyalah meminimumkannya atau memberi jawab balas terhadap serangan yang dilontarkan oleh mana-mana akaun media sosial.

Justeru, cabaran besar ini sedang berada di atas batu jemala Fahmi Fadzil dan Teo Nie Ching untuk mengurangkan penyebaran fake news dan ucapan-ucapan berunsur kebencian, terutama dari pembangkang dan figura-figura media sosial yang tidak bertanggungjawab.

Pun begitu, dikala kita bertindak, jika kita terlalu keras, kita akan lari jauh dari asas amalan demokrasi yang diamalkan di Malaysia. Jika kita longgar dan berlemah lembut pula, masyarakat Malaysia akan menikmati hidangan-hidangan media sosial yang bercampur baur antara realiti, fakta, fake news dan fitnah.

Dalam hal ini, Fahmi dan Nie Ching tiada pilihan lain, kementeriannya wajar terus memperkasakan bidang komunikasi strategik yang di dalamnya terangkul soal pengoperasian media sosial. Ia berupa serangan, menjawab isu dan neutralisasi sesebuah isu yang cuba dimainkan pihak tertentu.

Jika dahulu bidang komunikasi strategik ini dianggap ‘second class’, namun percayalah bahawa bidang tersebut sudah sama seiring pentingnya dengan bidang media yang lain.

Jangan buang masa, tenaga dan wang untuk menghilangkan budaya fake news dan ucapan kebencian dalam media sosial di negara ini, kerana sudah lama ia diusahakan dan ternyata kita tetap gagal. Tetapi, berjuanglah untuk menjawab dan meneutralkan semampu yang boleh.

Agar legasi masyarakat kita di Malaysia akan menjadi matang dalam menapis dan memilih yang mana intan, yang mana kaca.

Nota: Penulis merupakan seorang penulis bebas dan bekas editor media online.

BBerkaitan

Latest articles