KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, usul yang dibentangkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 tidak menyentuh mengenai pertandingan jawatan tertinggi parti iaitu Presdien dan Timbalan Presiden.
Bagaimanapun, beliau berkata ianya terpulang kepada perwakilan untuk membahaskannya.
“Dalam usul yang telah dibacakan tadi kita tahu tidak ada disebutkan mengenai pertandingan jawatan tertinggi parti itu.
“Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) juga menyebut beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan.
“Beliau tidak menyatakan perlu disekat orang itu atau orang ini dan beliau juga tidak nyatakan langsung jawatan itu tidak boleh dipertandingkan,” katanya diminta mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin HUssein yang bersedia bertanding sekiranya pemilihan parti itu diadakan.
Dalam pada itu, ditanya sama ada beliau akan bertanding atau tidak jawatan penting berkenaan, Zambry berkata akan mengumumkannya nanti.
Bagaimanapun beliau tidak memperincikan jawatan yang akan dipertandingkan kelak kerana perlu tunggu sama ada pemilihan itu akan diadakan atau tidak.
“Dulu saya bertanding sebagai MKT, kali ini saya akan tengok dulu macam mana kedudukannya.
“Saya ini senang sahaja tidak ada perkara terdesak yang mahukan itu dan ini. Yang paling mustahak ialah saya boleh menjadi sebahagian daripada pasukan untuk kita membina balik parti,” katanya.