KLANG: Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang pemuda yang mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh dan membakar kekasihnya yang hamil di Sabak Bernam, dua tahun lepas.
Hakim Norazlin Othman membuat keputusan itu selepas Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 22, mengekalkan pengakuan bersalahnya.
Dia didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau antara 8.30 malam 22 Mei dan 8 pagi 23 Mei 2023 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun serta maksimum 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan.
Dalam penghakimannya, Norazlin berkata, mahkamah berpuas hati dengan pengakuan yang dibuat oleh tertuduh tanpa syarat dan mengakui fakta kes serta eksibit yang dikemukakan pihak pendakwaan kepadanya adalah benar.
Beliau berkata, selepas mengambil kira keseriusan perbuatan itu yang disifatkan sebagai ‘kejam'” serta hakikat kes itu yang menjurus kepada jenayah yang dirancang, ia memerlukan satu hukuman berat jika dibandingkan dengan jenayah bersifat spontan.
“Dalam kes ini, bukan sekadar satu nyawa terkorban iaitu si mati tetapi juga anak yang dikandungnya selama 18 minggu… dalam kes ini, hasil bedah siasat oleh Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati terdapat kesan bakar yang meliputi hampir seluruh tubuh.
“Lebih sadis lagi, di bahagian perut terdapat usus dan kandungan yang terkeluar… si mati juga mengalami kesan-kesan luka tikam dan hiris di abdomen serta tapak tangan
“Tertuduh juga dikatakan telah memukul kepala si mati menggunakan kayu sehingga jatuh serta mengheretnya ke tepi parit dan mengambil pisau di kereta lantas menikam perut dan menghiris leher si mati,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ashiqin Zulkifli mengemukakan 112 eksibit kepada mahkamah antaranya imej ultrabunyi kandungan, pisau, sebatang kayu serta pakaian mangsa.
Beliau berkata, kesalahan itu amat serius kerana melibatkan nyawa manusia apatah lagi mangsa yang hamil ketika kejadian.
“Cara mangsa meninggal dunia terlalu kejam dan tidak sepatutnya diperlakukan sedemikian rupa… tertuduh mempunyai perancangan untuk melakukan jenayah berkenaan dan kesalahan ini melibatkan faktor kepentingan awam dan perlu menjadi pengajaran kepada semua,” katanya.
Peguam Muhammad Nor Tamrin dalam mitigasi pula berkata, anak guamnya telah dijadikan sebagai kambing hitam susulan laporan DNA (Asid Deoksiribonukleik) Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan bahawa janin berusia 18 minggu itu bukan milik Muhammad Fakrul.
Beliau berkata, Muhammad Fakrul juga berdepan tekanan daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya suami kepada sepupu mangsa dan telah menggugut tertuduh untuk bertanggungjawab terhadap kandungan tersebut.
“Tertuduh merupakan seorang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi dan dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan juga disiplin serta menunjukkan pencapaian yang cemerlang dengan gred keputusan peperiksaan terakhirnya ialah 3.80,” kata beliau.
Justeru, Muhammad Nor memohon agar mahkamah mempertimbangkan hukuman minimum dengan mengambil kira pengakuan bersalah yang dibuat oleh tertuduh sebelum perbicaraan bermula. - Bernama