Bung Sambut Baik Cadangan Anwar Berhubung Kerajaan Perpaduan Di Sabah

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin menyatakan sokongannya terhadap cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar diwujudkan satu Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah yang melibatkan seluruh parti politik di negeri ini.

Malah Pengerusi Barisan Nasional Sabah itu juga yakin dengan adanya Kerajaan Perpaduan kelak, ia mampu meredakan suhu politik dan seterusnya menstabilkan politik Sabah ketika ini.

“Saya juga berharap agar Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dapat menerima dengan hati yang terbuka saranan daripada Perdana Menteri ini demi menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Bung Moktar memaklumkan sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah tidak dapat menghadirkan diri pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Ke-16 kerana perlu menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur.

Perhimpunan Agung UMNO 2022 bermula esok, dari 11 hingga 14 Januari 2023.

Bagaimanapun Bung Moktar berkata, beliau bersama ahli-ahli Dewan Undangan Negeri UMNO Sabah yang lain menyokong Rang Undang-undang Bekalan Gas 2023 yang dijangka dibentangkan oleh Hajiji hari ini.

“Saya bersama ahli-ahli Dewan Undangan Negeri UMNO Sabah turut menyokong penuh Rang Undang-undang Bekalan Gas 2023 yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Ke-enam Belas pada 10hb Januari 2023,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles