Bung Moktar Sangkal Tuduhan Rasuah: “Itu Sangkaan Terlampau Jahat”

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menolak dakwaan bahawa beliau dan isterinya, pelakon Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, mendapat manfaat daripada pelaburan amanah saham Felcra Berhad bernilai RM150 juta.

Bung yang juga Pengerusi UMNO Sabah menegaskan, beliau tidak pernah menyalahgunakan kedudukan sebagai pengerusi bukan eksekutif Felcra untuk meluluskan pelaburan itu demi kepentingan peribadi.

“Itu sangkaan terlampau jahat,” katanya ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Fadly Zamry dalam perbicaraan di Mahkamah Sesyen, hari ini.

Dalam sesi soal jawab, Bung berulang kali menafikan dakwaan bahawa tindakannya dilakukan untuk memastikan beliau dan isterinya menerima wang pengenalan berjumlah RM2.8 juta.

Fadly menyoal sama ada Bung bersetuju jika semua tindakannya dilakukan di luar skop tanpa kelulusan lembaga pengarah dan bertujuan menjaga kepentingan sendiri.

Bung menolak dakwaan itu sepenuhnya.

Katanya lagi, cadangan pelaburan berkenaan telah melalui proses sewajarnya dan mendapat pertimbangan bahagian kewangan Felcra sebelum dibentangkan kepada lembaga pengarah.

“Lembaga pengarah mempunyai kuasa memutuskan sebarang cadangan yang disalurkan melalui pihak pengurusan. Sebab itu pelaburan tersebut diluluskan selepas terlebih dahulu dibincangkan di peringkat kewangan,” ujarnya.

Pendakwaan turut membangkitkan minit mesyuarat pada 11 November 2014 yang tidak merekodkan persetujuan melantik Public Mutual Berhad sebagai pengurus dana.

Namun, Bung berhujah keputusan itu selari dengan arahan bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Husni Hanadzlah yang ketika itu meluluskan beberapa agensi kerajaan melabur dengan Public Mutual.

Perbicaraan yang berlangsung di hadapan Hakim Rosli Ahmad akan bersambung pada 24 September depan.

Bung Moktar kini berdepan dua pertuduhan menerima rasuah masing-masing RM2.2 juta dan RM262,500, manakala Zizie pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat.

BBerkaitan

Latest articles