KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menegaskan beliau tidak pernah dimaklumkan oleh isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad mengenai penerimaan wang pengenalan berjumlah RM2.8 juta daripada dua ejen pelaburan Public Mutual.
Bung Moktar, 66, yang juga bekas Pengerusi FELCRA Berhad, membuat kenyataan itu ketika prosiding bela diri tiga pertuduhan rasuah yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
Prosiding itu turut melibatkan Zizie Izette, 47, yang berdepan pertuduhan bersubahat di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Menurut beliau, perkara itu hanya diketahui selepas dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberikan keterangan.
Ketika disoal peguam Datuk Seri K Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette, Bung Moktar turut mengakui bahawa beliau tidak pernah mencampuri urusan kerja isterinya kerana menghormati kebebasan pasangan.
Peguam: Datin Seri Zizie Izette tidak akan memberitahu berapa pendapatannya?
Bung Moktar: Benar, tidak pernah.
Peguam: Saya cadangkan Datin Seri Zizie Izette juga tidak memberitahu mengenai pelaburan yang beliau buat?
Bung Moktar: Benar, yang arif.
Bung Moktar juga menambah, isterinya itu tidak pernah mengambil tahu mahupun memberikan pandangan mengenai urusan beliau sebagai wakil rakyat di Parlimen.
Terdahulu, pada prosiding 27 Januari 2022, seorang perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, memberi keterangan bahawa Zizie Izette layak menerima wang pengenalan tersebut kerana memperkenalkan suaminya untuk pelaburan FELCRA bernilai RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.