KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin kini berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan rapi di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu.
Perkara itu disahkan oleh anak beliau, Naim Kurniawan Moktar, yang memaklumkan bahawa keluarga sedang menunggu perkembangan lanjut daripada pasukan perubatan.
“Kami amat berharap dan berdoa agar ayah kembali pulih sepenuhnya. Buat masa ini, doktor sedang memberikan rawatan terbaik,” katanya ketika dihubungi.
Bung Moktar, yang baru sahaja memenangi kerusi DUN Lamag pada PRN Sabah 29 November lalu, turut dikenali sebagai ahli Parlimen Kinabatangan selama enam penggal, menjadikan beliau antara tokoh politik paling berpengaruh di Sabah.
Dalam pada itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turut menyampaikan doa agar Bung Moktar segera diberikan kesembuhan.
“Semoga Allah mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada beliau serta keluarga dalam menghadapi ujian ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.










