KUALA LUMPUR: Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad diperintah membela diri oleh Mahkmah Rayuan di sini pada Isnin terhadap tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Keputusan kes yang dibaca Datuk Mohamed Zaini Mazlan bersama Panel Hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Noorin Badaruddin serta keputusan itu diputuskan secara sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Pada 18 September lalu, pihak pendakwaan memfailkan rayuan selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan ahli parlimen Kinabatangan, Bung Moktar dan Zizie daripada tiga tuduhan berkaitan rasuah.
Pihak pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 September tahun lalu, yang melepas dan membebaskan pasangan itu selepas membenarkan permohonan mereka untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September 2022 yang memerintahkan mereka membela diri.
Panel memerintahkan kes berkenaan dikembalikan di Mahkamah Sesyen bagi Bung Moktar dan Zizie membela diri terhadap tuduhan berkenaan.
Mahkamah membuat keputusan berdasarkan perbicaraan yang melibatkan pihak pendakwaan dan pembelaan, di mana panel hakim menilai semula rekod dan hujah pihak-pihak terlibat.
Dalam keputusan tersebut, mahkamah menekankan bahawa hak prosedur di bawah Seksyen 173 Kanun Prosedur Jenayah perlu dipatuhi, di mana mahkamah wajib memanggil tertuduh untuk membela diri sekiranya pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Mahkamah juga memaklumkan, keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini yang melepaskan responden daripada pertuduhan tanpa alasan yang kukuh tidak selaras dengan keperluan undang-undang. Panel hakim juga menegaskan bahawa proses rayuan atau semakan hanya boleh dibuat selepas keputusan penuh perbicaraan selesai.
Pada 7 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan pasangan itu daripada tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta FELCRA Berhad (FELCRA) dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Ia berikutan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan mereka untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September 2022 yang memerintahkan mereka membela diri.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.
Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar juga didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.
Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada jam 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Zizie Izette juga mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ini bermakna Bung dan Zizie akan kembali semula ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menjawab pertuduhan ke atas mereka.