Bung Moktar Balas Shafie: Kemenangan Warisan 2018 Bukan Mandat, Tapi Hasil ADUN Lompat

KOTA KINABALU: Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mempersoalkan dakwaan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, bahawa parti itu pernah menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 2018, sambil menyifatkan naratif tersebut sekadar “kisah diulang-ulang tanpa asas”.

Bung menegaskan BN ketika itu sebenarnya membentuk kerajaan selepas PRU14 dengan gabungan 31 kerusi BN–STAR, dan Tan Sri Musa Aman telah mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei 2018.

Namun keadaan berubah selepas beberapa ADUN BN bertindak keluar parti dan menyokong Warisan, sekali gus membuka jalan kepada Shafie untuk mengambil alih kerajaan.

“Saya sudah ulang banyak kali, bila BN kalah dengan Warisan? Kita hilang kuasa sebab ADUN lompat. Kalau tidak, Warisan tidak ke mana,” katanya memetik FMT.

Menurut Bung, adalah tidak tepat untuk Warisan mendakwa mereka memperoleh “kemenangan politik” pada 2018 sedangkan parti itu hanya memiliki 21 kerusi, ditambah lapan kerusi Pakatan Harapan, dan selebihnya bergantung kepada ADUN BN berpaling tadah.

“Ramai sekarang suka tuntut sesuatu yang bukan hak mereka,” tegasnya.

Mengulas kempen Warisan yang menonjolkan imej sebagai ‘penyelamat Sabah’, Bung berkata beliau tidak nampak asas kepada slogan tersebut.

“Saya tidak nampak apa yang mereka mahu selamatkan. Semua pun parti tempatan. Dengan siapa mereka mahu selamatkan?” soalnya.

Bung turut mengingatkan bahawa BN pernah membuktikan keupayaannya menstabilkan Sabah, khususnya selepas krisis politik 1994 yang menjadi titik tolak kepada pembangunan negeri sehingga BN tumbang pada 2018.

“BN pernah menyelamatkan Sabah daripada krisis politik yang menggerunkan pada 1994. Dari situ, bermulalah pembangunan sampai kita tewas pada 2018,” katanya.

Pada PRN Sabah ke-16 pada 2020, BN memenangi 14 daripada 40 kerusi ditandingi.

Kali ini, BN mempertaruhkan 45 calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 25 November sebagai hari pengundian awal dan 29 November sebagai hari mengundi.

BBerkaitan

Latest articles