KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mengakui beliau bertanggungjawab menandatangani sebarang surat daripada FELCRA Berhad yang ditujukan kepada Menteri Kewangan II sepanjang memegang jawatan sebagai pengerusi bukan eksekutif syarikat itu.
Menurut Bung, amalan itu sudah menjadi kelaziman memandangkan kedudukan pengerusi merupakan jawatan tertinggi FELCRA, manakala Menteri Kewangan II pula adalah menteri yang bertanggungjawab ke atas syarikat berkaitan kerajaan (MKD).
“Saya percaya kelaziman ini turut dipraktikkan di mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC). Tambahan pula, jawatan pengerusi adalah lantikan politik, sama seperti Menteri Kewangan II,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Bung yang diwakili peguam Ridha Abdah Subri dan M Athimulan turut memberitahu mahkamah bahawa beliau mengenali Nor Halili Ahmad Mokhtar dan Madhi Abd Hamid sejak 2013 selepas diperkenalkan oleh isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur.
Terdahulu, usaha terakhir Bung Moktar dan Zizie untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta telah gagal.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali menolak permohonan semakan pasangan itu selepas mendapati tiada keadaan luar biasa atau ketidakadilan jelas dalam keputusan terdahulu.