Bung ‘Malu’ Ada Wakil Rakyat Suka Lompat Parti Demi Wang, Jawatan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa untuk menyiasat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang lompat parti demi kepentingan diri sendiri, demikian menurut Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Malah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu mengakui dirinya malu kerana menjadi wakil rakyat di negeri yang mempunyai ADUN yang tidak setia dan sanggup lompat parti demi jawatan dan wang ringgit.

“Saya minta pihak penguatkuasa SPRM siasat yang melompat ini sebab memalukan. Di Sabah ini terkenal dengan wakil rakyat yang suka lompat parti

“Mereka ini memasang hasrat bertanding, sebaik sahaja menang akan cari mana ada peluang untuk lompat parti, jadi menteri, pembantu menteri, dapat RM1 juta, RM2 juta, dapat RM5 juta, inilah kerja ADUN-ADUN Sabah.

“Jatuh sana sini, asal melompat dapat kawatan, asal melompat kiri dapat duit, bilalah mau berhenti di Sabah ni, malu saya. Allahuakbar,” katanya ketika membahas Titah Diraja dalam Dewan Rakyat semalam.

Katanya, majoriti Adun di negeri di bawah bayu itu tidak ikhlas untuk memperjuangkan rakyat sebaliknya berhasrat untuk jawatan semata-mata.

Dalam masa yang sama, beliau menyifatkan kerajaan yang dipimpin oleh Pengerusi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor selaku Menteri Besar tidak menumpukan isu kelangsungan rakyat Sabah, sebaliknya hanya mahu berkuasa semata-mata.

Jelas Bung, oleh kerana itulah kerajaan negeri berkenaan sehingga kini tidak menguatkuasakan Akta Anti Lompat Parti.

“Saya pun tertanya-tanya bila kerajaan negeri masih belum melaksanakan Akta Anti Lompat Parti, rupa-rupanya ada udang di sebalik mi. ADUN di Sabah ni memang suka lompat, macam monyet, lompat sana, lompat sini sehingga dia terlupa bahawa ‘sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga’.

“Asal jadi pengkhianat dapat jawatan, jadi pengkhianat, lompat parti, jadi menteri walaupun tidak layak tidak ada pendidikan langsung pun jadi menteri. Sebab kerajaan negeri tidak memikirkan hala tuju rakyat negeri Sabah mereka memikirkan bagaimana pertahankan kuasa menunjukkan bahawa GRS kuat,” tegasnya.

Bung menambah, beliau nekad untuk memastikan ADUN Sabah yang tidak setia kepada parti ‘pupus’.

“Saya yakin dan percaya kepada Tuhan mereka yang mengkhianati parti ini akan kita lenyapkan daripada bumi Sabah, mereka yang tidak ada kesetiaan tidak berentergriti akan kita pupuskan daripada spesis suka melompat,” kata Bung Moktar.

Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah, hari ini mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta merta.

Mereka yang berbuat demikian terdiri daripada Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin); Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit); Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk); Datuk Hamid Awang (Balung) dan Datuk James Ratib (Sugut).

Serentak tindakan itu, lima ADUN berkenaan mengumumkan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dipimpin Hajiji.

Kecuali Hamid, ADUN UMNO terbabit sebelum ini membelakangkan keputusan parti menarik sokongan kepada Ketua Menteri dan kerajaan negeri yang diumumkan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, bulan lalu.

BBerkaitan

Latest articles