Bukit Aman Sahkan Buka Kertas Siasatan berkaitan Ucapan Haji Hadi

KUALA LUMPUR — Pasukan Polis Diraja Malaysia mengesahkan sudah membuka kertas siasatan terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, susulan kenyataan dibuat beliau bahawa komuniti bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah golongan paling banyak terbabit rasuah.

Ketua Komunikasi Korporat Polis, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, Ahli Parlimen Marang itu disiasat susulan artikel terbitan Malay Mail bertajuk “PAS’ Hadi Claims Non-Muslims, Non-Bumiputera Make Up The Bulk of Roots of Corruptions.

Menurut beliau, polis setakat ini telah menerima 28 laporan polis atas kenyataan dibuat Hadi itu.

“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Ia dibuat di bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum,” katanya hari ini.

Skandaguru berkata, siasatan juga dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, melibatkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkakaian.

“Tan Sri Abdul Hadi akan dipanggil ke Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung kenyataan dibuat.

“Siasatan masih dijalankan dan polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan kenyataan yang boleh mengganggu proses siasatan.

“PDRM juga menyeru orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum,” katanya

BBerkaitan

Latest articles