KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata Perikatan Nasional ( PN) dan PAS tidak perlu berlebih-lebihan dengan kemenangan mereka semalam di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan itu juga menyifatkan kemenangan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di kerusi yang dianggap PAS sebagai kubu mereka sendiri bukan sesuatu yang luar biasa.
Muhammad Kamil, dalam masa yang sama menyanggah kenyataan Setiausaha Agung PAS l, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kononnya kemenangan Ahmad Samsuri semalam, membuktikan referendum rakyat berpihak kepada kepimpinannya dan gabungan Perikatan Nasional (PN).
“Menang di kubu sendiri bukanlah sesuatu yang luar biasa. (DUN) Pelangai kelmarin tak dikira referendum pula. Lain la kalau menang di (Parlimen) Subang,” katanya menerusi laman X beliau, malam ini.
Dalam masa yang sama Muhammad Kamil berharap, Ahmad Samsuri akan menjadi pemangkin untuk ahli Parlimen pembangkang agar menjadi lebih efektif, berikutan penyokongnya meletakkan harapan tinggi terhadap beliau.
Semalam, PAS mengekalkan status quo di Kemaman selepas calonnya Ahmad Samsuri memenangi PRK Parlimen itu dengan majoriti 37,220, setelah memperoleh 64,998 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mendapat 27,778 undi. – BERNAMA