Bukan Sistem Sekolah Vernakular, Tapi Tun M Jadi Punca Rakyat Berpecah

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R Ramanan menolak dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya sekolah vernakular punca kepada perpecahan di negara ini.

Sebaliknya, menurut Ramanan, punca kepada perpecahan antara kaum hari ini adalah disebabkan ‘tangan’ bekas Perdana Menteri itu sendiri.

Apa tidaknya, Dr Mahathir masih mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan apabila menggesa sekolah vernakular dimansuhkan, sedangkan ia merupakan sebahagian daripada sistem sekolah kebangsaan.

Malah sekolah vernakular dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan dan telah wujud sejak merdeka lagi.

“Pada usia Mahathir sekarang, sepatutnya beliau memainkan peranan menyatupadukan rakyat Malaysia dan bukannya mewujudkan perpecahan. Bukan menghasut seperti ini.

“Kami ingin tahu sama ada cucunya bersekolah di sekolah swasta atau antarabangsa atau mereka berada di sekolah kebangsaan kita, seperti rakyat Malaysia yang lain?

“Amat dikesali Mahathir masih menyebut rakyat Malaysia yang bukan Melayu sebagai ‘pendatang’ ketika kita menyambut ulang tahun ke-66 kemerdekaan negara.

“Bukan sekolah vernakular yang menyebabkan perpecahan negara tetapi ahli politik seperti Dr Mahathir,” ujarnya.

Ramanan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Unit Transformasi India Malaysia (Mitra) menambah, hasil daripada kewujudan sekolah-sekolah ini, rakyat Malaysia telah dapat memahami bahasa Mandarin dan Tamil yang merupakan aset linguistik.

Apabila anak-anak sekolah vernakular ini boleh bertutur dalam bahasa lain, ia membolehkan kebolehpasaran mereka meningkat.

“Sekolah rendah Cina misalnya mempunyai lebih 100,000 pelajar Melayu, India dan bumiputera lain manakala sekolah rendah India pula memainkan peranan utama dalam pembangunan negara.

“Saya jemput Tun Mahathir melawat sendiri sekolah-sekolah ini dan lihat sifat-sifat mereka kepada perpaduan negara dalam program dan silibus sekolah berkenaan.

“Satu sebab mengapa orang Melayu dan India menghantar anak mereka ke sekolah vernakular ini selama enam tahun pendidikan rendah kerana mereka mahu anak mereka belajar bahasa Mandarin atau Tamil di sekolah Tamil,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Ramanan lagi, masyarakat Cina dan India adalah aset ekonomi utama, sesuatu yang semua pihak mesti fahami.

BBerkaitan

Latest articles