Bukan Sengaja Padam Mural Tun M, MBAS Buat Kerja Pengubahsuaian

ALOR SETAR: Mural wajah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sebelum ini menghiasi dinding sebuah bangunan di Medan Seni, Pekan Melayu, Alor Setar, yang telah dipadam, bukan kerana isu politik, tetapi kerana kerja-kerja pengubahsuaian bangunan.

Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menjelaskan bahawa pemilik premis berkenaan telah mendapat kelulusan sah untuk melakukan kerja baik pulih, termasuk membaiki dan mengecat semula struktur dinding yang menempatkan mural berkenaan.

Datuk Bandar MBAS, Datuk Abdul Gafar Yahya, berkata keadaan mural itu juga sudah lusuh dan catnya mengelupas, sekali gus menimbulkan isu keselamatan dan estetik.

“Pembaikan keseluruhan struktur termasuk mural terpaksa dilakukan demi keselamatan dan penampilan bangunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, MBAS menegaskan bahawa nilai seni dan penghargaan kepada tokoh negarawan seperti Dr Mahathir tetap diiktiraf.

Oleh itu, usaha sedang dirancang untuk menghidupkan semula mural tersebut, sama ada dalam bentuk lukisan baharu atau replika mural asal di lokasi lebih sesuai.

“Kami memandang serius nilai seni ini dan akan pastikan penghargaan kepada Dr Mahathir terus kekal,” tambah Abdul Gafar.

Mengulas spekulasi yang tular di media sosial, Abdul Gafar menafikan wujud sebarang unsur politik atau niat tersembunyi di sebalik pemadaman mural tersebut.

“Isu ini tidak berkait dengan mana-mana agenda politik. Ia dibuat berdasarkan pertimbangan profesional dan garis panduan sedia ada,” katanya.

Kehilangan mural itu menjadi bualan hangat warga maya baru-baru ini selepas ia didapati hilang dari bangunan di Pekan Melayu.

Mural berkenaan dilukis oleh tiga artis tempatan iaitu Mustakim Ismail, Abdul Qoyyum Mohd Nadzri, dan Mohd Zulfadli Ahmad Nawawi pada Jun 2015, sebagai tanda penghargaan kepada jasa tokoh berusia 98 tahun itu.

Abdul Gafar turut menggesa orang ramai agar tidak membuat spekulasi liar yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Kami komited bertindak secara telus dan bertanggungjawab, dan menghargai sokongan komuniti seni serta pemilik bangunan,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles