Bukan Semua Peminjam Disekat Ke Luar Negara, Hanya Untuk ‘Culas Bergaji Tinggi’

KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan tindakan sekatan perjalanan ke luar negara bukan langkah menyeluruh terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sebaliknya hanya akan dikenakan ke atas golongan berpendapatan tinggi yang berkemampuan tetapi sengaja culas melunaskan pinjaman.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim menegaskan bahawa langkah sekatan perjalanan itu bukan bertujuan menghukum peminjam, sebaliknya dilaksanakan demi menjamin keadilan serta kelestarian dana pendidikan negara.

Menurut beliau, kerajaan sentiasa mengambil kira kesukaran graduan, khususnya mereka yang belum mempunyai pekerjaan tetap atau berdepan kekangan kewangan, dan tidak akan bertindak secara membuta tuli terhadap golongan tersebut.

“Kerajaan memahami beban hutang yang ditanggung graduan, terutamanya mereka yang masih belum berkemampuan untuk membuat bayaran balik pinjaman,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Muttalib (Perikatan Nasional) di Dewan Rakyat.

Ismail sebelum itu meminta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjelaskan langkah yang diambil bagi membantu graduan yang masih menganggur namun dikenakan tindakan disenarai hitam ke luar negara akibat tunggakan PTPTN.

Mengulas lanjut, Adam Adli berkata PTPTN telah melaksanakan pelbagai inisiatif bersifat fleksibel bagi meringankan beban peminjam selepas menamatkan pengajian.

Antaranya termasuk pemberian tempoh lanjutan sehingga 12 bulan selepas tamat pengajian bagi membolehkan graduan mendapatkan pekerjaan serta pendapatan yang stabil sebelum diwajibkan memulakan bayaran balik.

Selain itu, peminjam yang tidak mampu membayar mengikut jadual asal boleh memohon penstrukturan semula bayaran balik sehingga had umur maksimum 60 tahun.

Beliau turut memaklumkan bahawa penangguhan bayaran balik dibenarkan kepada peminjam yang tidak bekerja atau tidak mempunyai pendapatan, sama ada sehingga mereka memperoleh pekerjaan atau bagi tempoh maksimum dua tahun.

“Bagi peminjam yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, penangguhan bayaran balik pinjaman akan diberikan sepanjang tempoh pengajian baharu tersebut,” katanya.

Adam Adli menegaskan, pendekatan kerajaan adalah berasaskan keprihatinan dan keadilan, dengan memberi ruang dan bantuan kepada peminjam yang benar-benar memerlukan, sambil memastikan tanggungjawab membayar balik pinjaman terus dipelihara.

BBerkaitan

Latest articles