Bukan Sahaja Langgar PKP, Mereka Buat Penempatan Baru Di Dalam Hutan

Polis semalam telah menemui satu kawasan di Hutan Ulu Rening, Batang Kali di Hulu Selangor yang berubah dari kawasan hutan tiba-tiba menjadi kawasan yang sibuk dengan orang ramai serta pelbagai kegiatan dilakukan di situ.

Seramai 238 orang ditahan pihak polis ketika melakukan serbuan di hutan berkenaan kerana satu kumpulan didapati membina penempatan sementara di dalam hutan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, jumlah itu merangkumi individu dalam kalangan dewasa, kanak-kanak dan juga bayi daripada kumpulan yang dikenali sebagai Dewan Perkasa Ekonomi Islam Nusantara (DPEIN).

“Hasil pemeriksaan kita dapati kawasan tersebut merupakan hutan yang baru diteroka dan mereka bina penempatan sementara.

“Mereka pasang khemah, dan jalankan semua aktiviti termasuk mandi, masak dan semuanya di situ,” katanya dalam satu sidang media di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, malam tadi.

Gerakan dilakukan oleh polis selepas menerima maklumat berhubung ada pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan itu diterima pada pukul 5 petang hari yang sama.

Kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada 76 lelaki, wanita (77) dan kanak-kanak serta bayi (85) yang berasal dari pelbagai negeri antaranya Kelantan, Pahang, dan Perak.

Tambah Fadzil, buat masa ini polis akan melakukan siasatan lanjut berhubung tujuan mereka membuat petempatan tersebut.

“Kita kumpulkan mereka di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor untuk dokumentasi dan siasatan lanjut.

“Kita juga dah lakukan saringan terhadap mereka yang ditahan dengan kerjasama pihak KKM dan juga JKM,” katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Peraturan Penyakit-Penyakit Berjangkit 1988. – TRI

BBerkaitan

Latest articles