Bukan Pertama Kali PAS Tuduh, Mengata UMNO Yang Bukan-bukan, Itulah Sikap Mereka

KUALA LUMPUR: PAS jelas menyerlahkan sikap sebenarnya apabila menuduh dan mengata UMNO yang bukan-bukan, demikian menurut Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Ujarnya, ini bukanlah kali pertama UMNO dicop dengan gambaran yang berat seperti mengatakan parti itu seperti ‘itik patah kaki’ baru-baru ini.

PAS sebelum ini juga pernah menuduh UMNO Thaghut, anti Islam dan kafir.

Shamsul berkata, apa yang terjadi hari ini memperlihatkan PAS mahu mengajar UMNO.

Atas sikap PAS ini jugalah, menyebabkan

Muafakat Nasional (MN) tidak sebagaimana seperti di awal penubuhan gabungan itu sendiri.

”Apa yang jelas. PAS dilihat mahu mengajar UMNO. Kerana itu sebenarnya bukan UMNO yang mahu menjadi Abang Long. Sebaliknya PAS sendiri. Namun saya yakin rakyat menilainya kerana rakyat punyai kebijaksanaan.

”Saya cuma hairan. Dalam keadaan mahu UMNO bersama, pimpinan UMNO dilabelnya dengan pelbagai gelaran. Sikap beginilah menjadi antara penyebab MN (Muafakat Nasional) menjadi hambar,” katanya dalam kenyataan.

Ujar Shamsul, adalah lebih baik untuk PAS menilai diri sendiri memandangkan parti itu memiliki ramai ilmuan dan ahli agama.

Merujuk kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, ia dapat dilaksanakan berasaskan undang undang tubuh Kerajaan Johor, kemudian diperkenan pembubaran oleh Sultan Johor.

Tindakan PAS menuduh PRN berkenaan sebagai agenda pemimpin ‘Kluster Mahkamah’ dari UMNO dan mereka yang tidak berjawatan adalah sangat tidak berasas serta tidak sepatutnya keluar daripada seorang “ilmuan” dan pemimpin utama parti yang kononnya berjuang untuk Islam, tegas Shamsul lagi.

Sedangkan UMNO dan (BN) adalah sebuah parti yang bertanggungjawab kerana itu UMNO menyerahkan kembali kuasa kepada rakyat supaya mereka diberikan hak memilih kerajaan yang baharu atas kehendak dan mandat rakyat sendiri.

”Dan sekiranya UMNO tamakkan kuasa. Pasti UMNO BN tidak mahu dibubarkan DUN Johor? Bila PAS kata punyai kekuatan tersendiri. Keahlianya dikatakan 1 juta ahli dan mempunyai 197 kawasan. Mungkinlah betul.

”Maka jika Presiden PAS berkata tidak akan berdiam diri dan mempunyai strategi balas sekiranya UMNO terus menerus melakukan PRN maka kita menghormati pendirian Presiden PAS.

”Dan sesuai dengan amalan demokrasi kita tidak boleh menghalangnya. Lakukanlah jika itu pendirian PAS. Malah sekiranya PAS ingin lakukannya sekarang sesiapapun tidak boleh menghalangnya. Itu juga hak PAS.

”Hakikatnya tiada yang menghalang untuk PAS terus mendukung PN. Teruskanlah kerana ianya tidak salahpun. Pandangan Presiden PAS saya hormati biarpun dia menyatakan BN yang sudah tidak relevan. Kerana itu juga hak Presiden PAS untuk berkata begitu,” ujar Shamsul.

Namun untuk mengatakan BN masih relevan atau tidak, Shamsul mahu perkara itu diserahkan kepada rakyat untuk menentukannya tetapi UMNO dan BN akan terus berusaha memastikan BN kembali kepada kedudukan asalnya.

Tambahnya, kemenangan BN dengan 21 kerusi di PRN Melaka boleh menjadi ukuran dan gambaran BN masih relevan atau tidak.

BN tidak bangga diri sebaliknya akan terus lipatgandakan usaha bekerja untuk negara dan rakyat.

Shamsul berkata, beliau tidak menafikan jika PN dikatakan parti “majmuk” tetapi BN sejak ditubuhkan sudah menggabungkan parti pelbagai kaum, realitinya BN lebih berpengalaman daripada PN dalam soal ini.

Shamsul turut menempelak PN supaya tidak terus mendabik dada kononnya hanya PAS saja yang menganjurkan perpaduan dan parti majmuk, sedangkan jika benar hanya PAS yang anjuran perpaduan, maka jemputan juga boleh diberi kepada parti Amanah untuk bersama dalam PN.

Malah PAS tak usah memberi alasan kononnya ia tidak boleh menerima Amanah kerana parti itu masih bersama DAP sedangkan realitinya dalam sejarah politik Malaysia PAS juga pernah bersama dan tidur sebantal dengan DAP.

Yang tidak pernah bersama DAP hanyalah UMNO dan BN, inilah hakikat dan realitinya, ujar beliau.

BBerkaitan

Latest articles