Bukan Pandai Masak Sahaja Popular, Dalam Group Ini Kalau Gagal Masak Pun Boleh Terkenal!!

Manusia kalau dihimpit tekanan atau masalah, biasanya pada masa itu ia akan mula berfikir dengan gaya berbeza sama sekali sebelum ini dan dia akan mendapat bermacam-macam idea untuk melepaskan diri daripada masalah berkenaan.

Negara Malaysia ketika ini sudah lebih sebulan berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak ia mula dilaksanakan 18 Mac lepas dan tempoh yang lama itu menyebabkan orang ramai memikirkan bermacam-macam idea untuk dilakukan di rumah.

Idea yang kebanyakannya timbul ialah mencuba pelbagai jenis resipi baru memasak untuk merasa dan tidak kurang juga yang mahu menunjuk di media sosial tentang hasil masakan mereka.

Di media sosial Facebook biasanya orang ramai akan berkongsi gambar kejayaan mereka memasak macam-macam jenis makanan, sama ada kuih, lauk-pauk atau jenis-jenis nasi dan mendapat komen serta Likes yang banyak oleh netizen.

Tahukah anda, di Facebook juga ada satu komuniti group yang kewujudannya bertujuan mengumpulkan gambar-gambar masakan yang tak menjadi yang dikenali sebagai Group Masak Apa Tak Jadi Hari Ini Official (MATJHN).

Ia mendapat sambutan dengan ahlinya 900,000 orang dan secara tepatnya 960,969 ahli ketika artikel ini ditulis. Jika anda melihatnya sekarang, ada kemungkinan sudah bertambah lagi dengan banyaknya.

Mereka memuatnaik gambar masakan mereka yang tak menjadi dan gambar dimuatnaik dengan banyak dalam tempoh PKP kerana memang ramai yang mencuba memasak macam-macam.

Seorang pengguna Facebook dengan nama Hisam Mohamad mendapat perhatian apabila hantarannya ekoran kegagalan memasak ayam panggang menerima lebih 918 komen dan dikongsi sebanyak 172 kali.

Hisam berkongsi hasilnya cuba memasak ayam panggang.

“Sebelum dan selepas abang menyerah, ngeri tengok kejadian, dah macam pembunuhan kejam, kasihan dekat ayam,” katanya.

Pengguna Facebook dengan nama Mambonda Vouge Yan pula berkongsi gambar karipap yang dimasaknya dan tak menjadi. Hantaran itu sahaja menerima 119 komen dan disukai sebanyak 633 kali.

Pengguna Facebook ini pula cuba buat karipap tapi tak jadi.
Puding Trifle penjarakan sosial daripada pengguna Facebook yang ini pula.

Aznor Aziz pula menghantar gambarnya cuba membuat puding tetapi tidak menjadi kerana lapisan pudingnya tidak melekat dan dia pun membuat ayat ‘cover line’ dengan mengatakan kena menjaga penjarakan sosial pada waktu PKP ini.

Boleh dikatakan ini antara satu-satunya group Facebook yang hantaran semuanya mengikut tema iaitu gambar atau video masakan anda yang tidak menjadi.

Difahamkan, pertambahan ahli di dalam group ini ialah 1,000 ahli seminit dan kini mereka menyasarkan untuk mendapat 1 juta ahli pada malam ini.

Seorang daripada pentadbir (admin) group ini memaklumkan pihaknya terpaksa mengehadkan waktu untuk menghantar gambar kerana hantaran yang masih belum disahkan boleh dipaparkan di timeline ada kira-kira 9,000 hantaran.

Satu daripada moderator group ini Azarimah Ismail pula meminta para ahli semua bersabar kerana dia sedang menilai satu persatu hantaran yang ada yang pada ketika itu berjumlah 8441 hantaran. – TRI

BBerkaitan

Latest articles