More

    Bukan Najib, Tapi Tun M Yang Ajar Politik Wang

    KUALA LUMPUR: UMNO membidas kritikan
    bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa gejala politik wang di negara ini dimulakan oleh Datuk Seri Najib Razak.

    Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil menegaskan sepatutnya Dr Mahathir yang perlu dipertanggungjawabkan atas gejala politik wang selama ini.

    Bahkan tidak ada sesiapa yang akan mempercayai kata-kata bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang mendakwa dirinya bersih.

    “Tun lah yang ajar orang bermain politik wang selama ini sehingga ia menjadi penyakit sistemik di negara ini,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Terdahulu Dr. Mahathir menuduh Najib sebagai individu yang yang bertanggungjawab meruntuhkan akhlak orang Melayu melalui amalan politik wang.

    Dalam hantaran yang sama, Isham meluahkan rasa hairan dengan gelagat Dr. Mahathir yang masih meratib nama Najib walaupun bekas Presiden UMNO itu telah dipenjarakan.

    “Dia (Najib) masih naik turun mahkamah untuk membersihkan namanya dari tuduhan-tuduhan Tun,” jelasnya.

    Sehubungan itu Dr. Mahathir dinasihatkan untuk membuang segala kebencian dari hatinya supaya dihormati semula seperti semasa mula berkecimpung dalam politik dahulu.

    “Jika tidak, kebencian itu yang akan menghitamkan lagi hati dan jiwa Tun sehingga ke akhir hayat. Jika ini penghujungnya, maka pengakhiran ini adalah pengakhiran yang tidak baik.

    “Sejarah akan melihat Tun sebagai seorang pembenci yang busuk hati,” katanya.

    Namun, Isham percaya masa ada masa bagi veteran politik untuk mengubah keadaan dengan membuang yang keruh dan mengambil yang jernih serta menerangkan hati dengan solat dan membaca al-Quran.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini