Bukan Merajuk, Sebaliknya Anwar Sudah Hilang Percaya – Rafizi

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, akhirnya tampil menjelaskan punca sebenar beliau melepaskan jawatan dalam Kabinet, dengan mendakwa kehilangan keyakinan Perdana Menteri terhadapnya menjadi titik akhir keputusan yang diambil.

Dalam satu podcast siaran langsung bertajuk “Yang Berhenti Menteri”, Rafizi mendakwa bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Presiden PKR dan Perdana Menteri tidak lagi mempercayainya sebagai orang nombor dua dalam parti mahupun sebagai menteri.

“Apabila Nurul Izzah (Anwar) bertanding dan mendapat restu presiden, itu isyarat jelas kepada saya bahawa keyakinan terhadap saya sudah hilang, baik sebagai Timbalan Presiden, mahupun Menteri Ekonomi,” kata Ahli Parlimen Pandan itu.

Rafizi sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan pada 27 Mei, yang berkuat kuasa Selasa lalu, selepas kekalahan dalam pemilihan parti.

Mengulas lanjut, Rafizi menjelaskan bahawa beliau tidak mahu terus kekal dalam kerajaan sebagai menteri tanpa mandat dan kepercayaan.

Malah, beliau mengakui tidak mahu menjadi beban kepada kementeriannya sendiri.

“Kalau saya kekal, saya akan jadi lame duck minister, menteri yang hilang kepercayaan daripada Perdana Menteri. Kalau saya terus buat kerja, kementerian saya pun akan terbabit sama,” katanya lagi.

Rafizi turut menafikan bahawa tindakannya berpunca daripada perasaan kecewa atau ‘merajuk’, sebaliknya menegaskan keputusan itu berlandaskan prinsip politik yang lebih besar.

“Saya pelik bila ada yang kata saya merajuk. Saya menteri… dan saya sendiri yang tak mahu. Ini bukan soal tak dapat sesuatu, ini soal prinsip. Saya tak mahu kekal kalau saya hanya jadi boneka dalam kerajaan,” jelas beliau.

Menurut Rafizi, beliau mahu Kabinet dianggotai oleh pemimpin yang benar-benar bebas bersuara dan membawa suara rakyat, bukan hanya untuk mengisi kerusi.

“Kalau saya kembali semula ke kerajaan dalam keadaan begitu, secara tersiratnya saya kena tutup mulut. Itu bukan cara saya,” tegasnya.

Dalam siaran itu juga, Rafizi berkongsi falsafah politik peribadinya, bahawa kuasa bukan satu-satunya cara untuk terus relevan dalam perjuangan politik.

“Yang penting adalah penerimaan rakyat. Kita mesti bawa sesuatu yang memberi manfaat kepada masyarakat, bukan semata-mata berpegang kepada kuasa,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles