Bukan Lagi Pilihan Alternatif, Pelajar Aliran Agama Juga Disaran Sertai TVET

KUALA LUMPUR: Pelajar aliran agama perlu merebut peluang jurusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk menyambung pelajaran setelah tamat persekolahan kelak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana bidang itu bukan lagi menjadi pilihan kedua untuk menyambung pelajaran bagi memenuhi keperluan industri negara.

“Saya mahukan kita semua melihat bahawa aliran TVET ini merupakan salah satu aliran yang boleh dimanfaatkan oleh para pelajar (aliran agama) di sini.

“Graduan di dalam aliran TVET kini mempunyai potensi yang besar menjadi tenaga mahir negara dalam pelbagai bidang yang mampu menjanjikan pendapatan dan taraf kehidupan yang lebih baik untuk masa hadapan,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Graduasi Huffaz dan Apresiasi Kecemerlangan Imtiaz Ulul Albab 2023 di sebuah hotel di Ayer Keroh, hari ini.

Teks ucapan Ahmad Zahid dibacakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut Timbalan Perdana Menteri berkata, antara keberhasilan yang dapat disaksikan melalui Majlis TVET Negara adalah mentransformasi bidang TVET ke arah melahirkan tenaga mahir warga tempatan.

“Melalui Majlis TVET Negara, kita berjaya menubuhkan Sekretariat TVET bagi menyelaraskan program dan kursus di 1,344 institusi TVET seluruh negara.

“Sebaik sahaja saya menjadi Pengerusi TVET, saya telah menaik taraf pendidikan TVET dengan mewujudkan kolaborasi di antara institusi TVET tempatan dengan lebih 200 pemain industri, terdiri daripada syarikat-syarikat dan konglomerat terkemuka,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles