Bukan Jadual Kerja, Isu Sekarang Kekurangan Petugas Kesihatan – Dr Akmal

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO hari ini mempersoalkan Sistem Waktu Bekerja Berlainan (WBB) bagi kakitangan kesihatan yang akan dimuktamadkan kelak.

Ketuanya, Datuk Dr Akmal Saleh sebaliknya berkata isu sebenar dalam sektor kesihatan hari ini adalah apabila petugas perlu bekerja lebih masa kerana kekurangan petugas kesihatan, dan bukan jadual waktu bekerja.

Sehubungan itu beliau percaya penyelesaian yang dimahukan adalah tambah petugas kesihatan bukan mengurangkann waktu bekerja.

“Kerana saya percaya walaupun jadual baru menunjukkan jumlah waktu bekerja berkurangan tetapi ia hanyalah sekadar teori dan angan-angan.

“Realitinya petugas kesihatan kita tetap akan terpaksa bertugas lebih masa disebabkan tugas yang banyak berbanding petugas yang ada,” ujarnya dalam hantaran media sosialnya malam ini.

Dr Akmal berkata demikian sebagai respon kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad mengenai Sistem Waktu Bekerja Berlainan (WBB) yang dipercayai mengurangkan beban kerja kepada petugas kesihatan dalam kalangan doktor.

Menurut Dr Dzulkefly, cadangan itu bagaimanapun tidak melibatkan semua doktor, jabatan mahupun fasiliti kesihatan.

Dalam pada itu, Dr Akmal berharap pembuat dasar di Kementerian Kesihatan dapat memahami apa sebenarnya dimahukan oleh petugas kesihatan.

“Harap pembuat polisi yang balik 0800-1700 dan cuti Sabtu dan Ahad dapat memahami apa sebenarnya yang dihadapi oleh petugas kesihatan kita di bawah ini,” tegas Dr Akmal.

BBerkaitan

Latest articles