KUALA LUMPUR: Penggunaan ungkapan seperti “Alhamdulillah” dan “Insya-Allah” oleh masyarakat bukan Islam tidak menjadi kesalahan selagi dilafazkan dengan niat yang baik, penuh adab serta menghormati makna asal lafaz berkenaan, kata Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Ketua Pengarahnya, Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, larangan hanya terpakai sekiranya ungkapan tersebut digunakan dengan tujuan memperolok, menyalahgunakan atau merendahkan kesucian agama Islam.
Menurut beliau, lafaz berkenaan pada asasnya adalah ungkapan keimanan yang mengandungi pengakuan dan pujian kepada Allah SWT, namun dari sudut bahasa dan adat, ia tidak semestinya terbatas kepada orang Islam semata-mata.
Beliau menjelaskan, dalam konteks masyarakat majmuk, penilaian hukum penggunaan lafaz itu oleh bukan Islam bergantung kepada niat serta situasi, selaras dengan kaedah fiqh yang menegaskan bahawa sesuatu ucapan diukur berdasarkan maksud dan tujuan, bukan hanya pada lafaz yang diucapkan.
“Sekiranya digunakan dengan niat yang baik dan penuh rasa hormat, ia dibenarkan. Namun jika bertujuan menghina, mempermainkan atau memesongkan makna, perbuatan tersebut boleh menjejaskan kesucian agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Mohamed Azam turut merujuk pandangan ulama tersohor, Yusuf al-Qardawi menerusi karya Fiqh al-Da‘wah, Ghayr al-Muslimin fi al-Mujtama‘ al-Islami yang menyatakan bahawa lafaz pujian kepada Allah SWT oleh bukan Islam tidak diharamkan selagi tidak membawa maksud pengakuan terhadap akidah Islam atau unsur penghinaan kepada agama.
Tambah beliau, para ulama Islam juga sepakat bahawa penentuan hukum dalam isu ini perlu mengambil kira niat, maksud serta konteks masyarakat setempat bagi mengelakkan salah faham dan ketegangan antara penganut agama.
Sehubungan itu, IKIM menasihatkan umat Islam agar mengamalkan sikap husnuzon dan kebijaksanaan dalam menangani isu berkenaan, selain mencontohi pendekatan Nabi Muhammad SAW yang memahami realiti masyarakat serta mendoakan hidayah buat bukan Muslim selagi perbuatan mereka tidak menghina agama atau menyalahi akidah.
“Masyarakat bukan Islam juga wajar diberi kefahaman tentang makna sebenar lafaz-lafaz ketuhanan ini. Pendekatan beradab dan berhikmah bukan sahaja memelihara kesucian lafaz Allah, malah berperanan sebagai medium dakwah yang harmoni dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya.










