Bukan 94, Hanya 92 Jumlah Mangsa Tanah Runtuh Batang Kali

HULU SELANGOR: Polis mengisytiharkan jumlah mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jumaat lalu adalah seramai 92 orang.

Sebelum ini media melaporkan jumlah keseluruhan mangsa yang terlibat adalah 94 orang.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dengan berkata, jumlah itu diperolehi berdasarkan semakan teliti dan laporan yang dibuat ahli keluarga mangsa.

Katanya, berdasarkan dapatan rasmi terbaharu, polis akan mempergiatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa, kanak-kanak lelaki yang masih hilang.

“Kita buat keputusan bahawa jumlah sebenar mangsa secara rasmi adalah seramai 92 orang iaitu kurang dua orang berbanding jumlah awal yang diberitahu sejak hari pertama operasi pada kejadian Jumaat lalu iaitu 94 orang.

“Jumlah mangsa yang selamat dan cedera ini adalah seramai 61 orang, terkorban (30 orang) dan baki yang masih hilang sekarang sebenarnya seorang sahaja,” katanya pada sidang media, di lokasi kejadian, hari ini.

Ditanya mengapa terdapat percanggahan bilangan mangsa, Arjunaidi berkata, ia berlaku kerana terdapat pertindihan pendaftaran di tapak perkhemahan tersebut.

Katanya, polis telah membuat semakan secara teliti dan mendalam daripada segi segala data dan laporan ahli keluarga.

“Semua ini telah disemak dan akhirnya kita telah berpuas hati dengan perkara ini dan membuat kesimpulan tersebut.

“Dengan dapatan terbaharu ini, pasukan keselamatan operasi SAR akan memperhebatkan pencarian baki mangsa dan ia akan diteruskan sehingga arahan terbaru diterima,” ujarnya.

Hujan lebat di lokasi kejadian menyebabkan operasi SAR mangsa yang hilang ditangguhkan.

Empat mayat yang merangkumi lelaki dewasa, perempuan dewasa, kanak-kanak lelaki dan perempuan dtemui di sektor C (riverside) pada kedalaman tujuh meter hari ini.

BBerkaitan

Latest articles