BUDI95 Beri Penjimatan Sehingga RM2.5 Bilion

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan penyasaran subsidi petrol menerusi inisiatif BUDI95 dijangka membolehkan kerajaan menjimatkan sekurang-kurangnya RM2.5 bilion tahun ini, sekali gus memperkukuh kedudukan fiskal negara dan menyalurkan semula manfaat kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut bukan sahaja berjaya mengekang ketirisan serta aktiviti penyeludupan bahan api, malah memastikan subsidi benar-benar dinikmati golongan yang layak.

Menurut beliau yang juga Menteri Kewangan, penggunaan MyKad sebagai medium pengesahan subsidi terbukti berkesan dalam memastikan agihan dilakukan secara lebih selamat, tersusun dan efisien.

“BUDI95 mencatat purata sehingga 3.1 juta transaksi sehari, bersamaan kira-kira 96 juta transaksi sebulan. Ini membuktikan pembelian RON95 bersubsidi kekal berjalan lancar tanpa gangguan,” katanya ketika sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) berhubung jumlah penjimatan yang dicapai sepanjang 2025, unjuran bagi 2026 serta kaedah kerajaan memanfaatkan lebihan tersebut bagi membantu golongan B40 dan M40 menghadapi tekanan kos sara hidup.

Inisiatif BUDI95, yang diperkenalkan sejak September tahun lalu, merupakan langkah kerajaan untuk memastikan subsidi petrol RON95 lebih bersasar dan tidak disalahgunakan.

Mengulas isu had penggunaan, Anwar menjelaskan bahawa had 300 liter sebulan bagi pembelian RON95 bersubsidi kini tidak lagi menjadi pertikaian memandangkan data menunjukkan purata penggunaan rakyat sekitar 100 liter sebulan, manakala 90 peratus pengguna menggunakan kurang daripada 200 liter.

“Penyasaran subsidi RON95 bagi 2026 diunjurkan terus menjimatkan RM2.5 bilion. Dengan kejayaan ini, kerajaan dapat memperkenalkan dan memperkukuh pelbagai program bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA),” katanya.

Malah, beliau mendedahkan bahawa 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas telah menerima RM100 setiap seorang melalui MyKad di bawah inisiatif SARA, sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan meringankan beban kos sara hidup.

BBerkaitan

Latest articles