KUALA LUMPUR: Seorang buruh ladang durian berputih mata melihat anak perempuannya maut selepas kereta yang dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam 30 kaki di laluan jambatan besi pertama Tras, di Jalan Lama Raub- Bentong, petang semalam.
Ketua Polis Raub Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, bapa mangsa dipercayai terbabas sendiri ketika mengelak dari sebuah kenderaan di hadapan ketika melalui jambatan berkenaan.
Mangsa, Nur Safika Sofia Abdullah, 5, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat patah tengkuk selepas kereta bapanya terbalik dan berpusing ketika jatuh ke dalam gaung dalam kejadian 6 petang tadi.
”Siasatan awal dapati, mangsa dan bapanya Sukorin Sudirman,30, dalam perjalanan dari arah Tranum menuju ke Raub,” kata Mohd Shahril.
Terdahulu kedua-dua beranak warga Indonesia itu pergi ke kedai.
”Apabila sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu ayah mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam gaung,” katanya lagi.
Pemandu dilaporkan sedar selepas kejadian dan tidak mengalami sebarang kecederaan bertindak mengendong anaknya naik ke atas.
Menurut Shahril, kanak-kanak itu duduk di kerusi penumpang hadapan, tidak sedarkan diri selepas nahas mendapatkan rawatan kecemasan di lokasi nahas oleh pasukan penyelamat.
“Pembantu Perubatan Hospital Raub telah tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia.
“Kemalangan berpunca daripada pemandu yang memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan berlaku,” tambahnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.