Budak Lelaki Maut Didera Ibu, Bapa Tiri

Seorang lelaki menghubungi polis dengan mendakwa anaknya lemas di dalam tong air di rumah mereka, namun hasil siasatan polis mendapati mangsa didera sehingga menemui ajal oleh ibu dan bapa tirinya.

Kejadian berlaku di Taman Krubong Jaya, Melaka, dengan mangsa yang berusia tujuh tahun itu ditemui bersama kesan cedera dan lebam di anggota badan, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, kira-kira 4 petang, Bilik Gerakan (DCC) JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan anaknya lemas di dalam tong air di rumahnya.

Bagaimanapun, katanya, siasatan di tempat kejadian, polis mendapati ada kesan lebam serta kecederaan di anggota badan kanak-kanak itu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa dicederakan. Susulan itu, ibu dan bapa tiri kanak-kanak berkenaan yang masing-masing berusia 32 dan 38 tahun ditahan.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Katanya, polis akan membuat permohonan reman ke atas suspek di Mahkamah Ayer Keroh esok.

BBerkaitan

Latest articles