KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut dalam tragedi menyayat hati selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium di Puchong, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superitendan Mohd Fairus Jaafar, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian daripada Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya sekitar jam 12.30 tengah hari dan anggota polis segera digerakkan ke lokasi kejadian untuk siasatan.
Menurut siasatan awal di tempat kejadian, mangsa yang merupakan warga tempatan ditemui dalam keadaan terlentang di atas lantai tingkat lima, dipercayai selepas terjatuh dari rumah pengasuhnya di tingkat atas.
“Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai memanjat tingkap yang tidak berpagar dengan bantuan sebuah kerusi sebelum terjatuh. Kejadian berlaku ketika mangsa berada di rumah pengasuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Difahamkan, ketika kejadian berlaku, ibu mangsa sedang menjaga seorang lagi anak yang sedang menjalani kuarantin di rumah, manakala bapanya pula keluar bekerja.
Pegawai perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan kematian mangsa di tempat kejadian.
Susulan kejadian tragik itu, kes kini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kemungkinan unsur kecuaian dalam penjagaan kanak-kanak.
“Setakat ini, kami telah merakam keterangan daripada pengasuh untuk membantu siasatan. Kertas siasatan akan dilengkapkan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” jelas Mohd Fairus.
Pihak polis turut menyeru ibu bapa dan penjaga agar lebih peka terhadap aspek keselamatan kediaman, terutamanya apabila melibatkan rumah bertingkat tinggi dan kanak-kanak yang aktif.