SUNGAI BULOH: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dipercayai menjadi mangsa dera sehingga maut oleh keluarga angkatnya dalam satu kejadian
di Paya Jaras, Sungai Buloh.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata susulan kejadian itu, polis menahan sepasang suami isteri berusia 27 dan 28 tahun sekitar kawasan Sungai Buloh pada pukul 11 pagi semalam.
Menurut Mohd Hafiz, pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan Hospital Sungai Buloh pada 12.25 pagi tadi.
“Pengadu yang bertugas di zon merah Jabatan Kecemasan memaklumkan menerima seorang kanak-kanak perempuan yang tidak sedarkan diri pada pukul 10.45 malam, Khamis.
Doktor segera memberikan bantuan pernafasan (CPR) tetapi mangsa tidak memberikan sebarang tindak balas dan akhirnya disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lebih memilukan, pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam, bengkak, luka di seluruh badan mangsa serta tompokan darah kering di mulut dan hidungnya.
Pasangan suami isteri yang menghantar mangsa ke hospital mengaku sebagai keluarga angkat kanak-kanak malang itu.
“Semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Mereka akan dibawa ke Mahkamah Shah Alam esok untuk permohonan reman,” jelas Mohd Hafiz.
Mayat kanak-kanak itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Dalam pada itu, Mohd Hafiz menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung kes berkenaan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan bagi memastikan keadilan untuk mangsa dapat ditegakkan,” katanya.