Broker Mengaku Tak Bersalah Pukul Dua Ekor Kucing Sampai Mati

Berang kerana dua ekor kucing membuang najis di hadapan rumahnya, seorang wanita bertindak memukul kedua-dua haiwan berkenaan dengan menggunakan besi sehingga mati.

Kejadian berlaku di Pintas Kalui, Seberang Jaya pada Disember tahun lalu..

Namun, tertuduh, Hah Choy Kheng, 51, pada hari ini mengaku tidak bersalah ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas kesalahan memukul dua ekor haiwan berkenaan.

Malah Choy Kheng minta dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Choy Kheng didakwa dengan kejam memukul seekor kucing betina baka tempatan berwarna oren dan seekor anak kucing baka tempatan berwarna putih kelabu dengan sebatang besi sepanjang 75 sentimeter hingga menyebabkan kedua-dua haiwan itu mati.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di bawah pokok berhampiran pondok berbumbung dalam kawasan padang permainan Blok B1, Pintas Kalui 1, Seberang Jaya pada 1.20 petang 29 Disember tahun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh diwakili peguam, Shamsher Singh Thind.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam kejadian 29 Disember tahun lalu, wanita terbabit dilaporkan berang selepas dua haiwan itu didakwanya membuang najis di hadapan rumahnya.

Ketika kejadian dua ekor kucing itu dilaporkan sedang makan sebelum wanita terbabit mengambil sebatang besi dalam keretanya dan memukul haiwan itu.

Kejadian disedari seorang juruteknik lelaki berusia 30 tahun yang melaporkannya kepada pihak JPV.

BBerkaitan

Latest articles