Brabazon Terima Status “New Town”, Pacu Pertumbuhan Hartanah, Ekonomi Bristol

BRISTOL: Projek pembangunan bercampur Brabazon di tapak bekas Lapangan Terbang Filton, sebuah lokasi bersejarah kelahiran pesawat supersonik Concorde, kini berada di landasan untuk menjadi pemacu pertumbuhan baharu di barat England selepas menerima status rasmi “new town” (bandar baharu) daripada kerajaan United Kingdom.

Langkah itu membuka akses kepada sokongan dana kerajaan dan pembangunan infrastruktur awam yang penting, termasuk rangkaian pengangkutan rel dan bas baharu, sekali gus mengubah kawasan seluas 400 ekar milik YTL Developments UK kepada hab perumahan, hiburan dan perniagaan bersepadu.

Menurut laporan The Times, di bawah pelan kelulusan sedia ada, Brabazon hanya dibenarkan membina 6,500 unit rumah.

Namun dengan status bandar baharu, kapasiti itu boleh ditingkatkan sehingga 25,000 unit, termasuk lebih 1,700 unit rumah mampu milik.

Sehingga kini, lebih 350 unit rumah telah diduduki dengan kira-kira 800 penduduk menetap di kawasan berkenaan, yang menempatkan rumah dua hingga lima bilik dan blok apartmen setinggi tujuh tingkat.

Harga jualan kediaman di Brabazon berada pada paras premium dianggarkan £100,000 lebih tinggi berbanding projek baharu lain di kawasan sama.

Sebuah rumah teres empat bilik di Hangar District ditempah pada £560,000, manakala apartmen di The Dials ditawarkan antara £317,000 hingga £365,000.

Mercu tanda utama pembangunan ini ialah penukaran sebuah hangar bersejarah menjadi arena hiburan berkapasiti 20,000 tempat duduk, yang dilaporkan lebih besar daripada Arena O2 di London dan disasarkan dibuka pada 2028.

Arena berkenaan menjadi teras kepada daerah hiburan Brabazon yang turut merangkumi hotel bertingkat tinggi, kediaman pelajar, kampus perusahaan, serta Brabazon Park seluas 15 ekar yang menampilkan tasik buatan.

YTL sedang berada dalam proses berunding dengan penaja korporat bagi arena tersebut.

Paparan awal promosi menampilkan konsert jelajah Taylor Swift Eras Tour sebagai simbol taraf acara yang disasarkan.

Bagi menyokong pembangunan berskala besar ini, YTL memperuntukkan lebih £100 juta untuk menaik taraf infrastruktur pengangkutan termasuk pembinaan stesen kereta api baharu yang bakal menghubungkan Brabazon ke Bristol Temple Meads dalam masa kurang 15 minit menjelang musim luruh 2026;
cadangan laluan bas “Circle Line” untuk menghubungkan Brabazon ke kawasan lain di Bristol; dan rangkaian laluan basikal serta pejalan kaki yang melalui kawasan hijau bagi mengurangkan pergantungan terhadap kenderaan persendirian.

Usaha ini seiring dengan pelaburan kerajaan UK bernilai £752 juta untuk memperkukuh pengangkutan awam dan menggalakkan perjalanan aktif di rantau barat England.

Rangkaian pasar raya premium Waitrose telah menandatangani perjanjian untuk membuka cawangan utama di pusat bandar Brabazon, yang turut menempatkan ruang pejabat dan kafe.

YTL turut menarik penyertaan perniagaan makanan dan minuman tempatan termasuk pembuat roti terkenal Mokoko dan kedai pasta segar Impasta Lab, selain Barber Box yang memulakan operasi dari kontena kargo.

Model pembangunan sementara “Meanwhile” pop-up town centre memberi peluang kepada usahawan kecil menguji pasaran sebelum berpindah ke pusat bandar kekal City Green kelak.

Menurut YTL, status bandar baharu itu bukan sahaja mempercepatkan proses kelulusan pembangunan malah membuka laluan untuk mewujudkan lebih 30,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor pembinaan, perkhidmatan dan perusahaan teknologi dan pelaburan infrastruktur sosial bernilai £5 bilion, termasuk pembinaan tiga sekolah baharu, sebuah klinik kesihatan komuniti (GP surgery), perpustakaan dan kemudahan komuniti lain.

Brabazon dilihat sebagai “injap pelepas tekanan” bagi bandar Bristol yang berdepan permintaan perumahan tinggi, kesesakan lalu lintas dan keterbatasan kawasan pembangunan.

Tapak Brabazon pernah menjadi pusat industri penerbangan sejak 1910 apabila Sir George White menubuhkan British and Colonial Aeroplane Co. di Filton.

Di sinilah lahir pesawat pengebom era Perang Dunia Pertama, pesawat Spitfire dan Hurricane semasa Perang Dunia Kedua, pesawat penumpang gergasi Bristol Brabazon, serta pesawat supersonik Concorde dengan pesawat ikonik Alpha Foxtrot kini dipamerkan di British Aerospace Museum bersebelahan tapak projek.

Reka bentuk bandar baharu ini mengekalkan identiti tersebut melalui nama-nama jalan yang diinspirasikan pekerja aeroangkasa serta bumbung condong menyerupai sirip ekor pesawat.

Kawasan barat England kini memiliki ekonomi bernilai lebih £53.7 bilion dengan ekosistem aeroangkasa mantap melibatkan syarikat antarabangsa seperti Airbus, Rolls-Royce dan GKN.

Penganalisis hartanah berpendapat status bandar baharu Brabazon berupaya menambah baik bekalan perumahan, memperkukuh nilai hartanah di kawasan utara Bristol, dan meningkatkan daya tarikan pelaburan asing sekali gus menjadikan Brabazon sebagai projek penanda aras transformasi kawasan industri lama kepada bandar moden bersepadu.

“Status ini meletakkan Brabazon sebagai model kebangkitan semula kawasan industri lama, memadukan warisan dengan pertumbuhan ekonomi baharu,” kata Sebastian Loyn, Ketua Perancangan dan Pembangunan YTL Developments UK, seperti dipetik The Times.

BBerkaitan

Latest articles